PBS tubuh jawatankuasa bincang gabungan parti - Joachim

Bernama
September 20, 2023 22:33 MYT
Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata jawatankuasa itu akan diketuai Setiausaha Agung parti Datuk Julita Majungki. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan cadangan penggabungan dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) selepas Kongres Perwakilan PBS ke-38 yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.
Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata jawatankuasa itu akan diketuai Setiausaha Agung parti Datuk Julita Majungki.
"Perwakilan juga akan membincangkan idea untuk bekerjasama rapat dengan STAR tetapi jika digabungkan, ia masih jauh. Saya tidak fikir begitu (untuk bergabung dalam masa terdekat) tetapi untuk bekerjasama rapat, ya.
"Tiada tempoh masa untuk ini. Sasaran kita ialah bekerjasama sebelum pilihan raya negeri akan datang. Kita juga mahu bekerjasama dengan parti lain dalam GRS (Gabungan Rakyat Sabah) tetapi ia terpulang kepada Pengerusi GRS (Datuk Seri Hajiji Noor) untuk menyatakannya," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada Julai, Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mendedahkan idea untuk menggabungkan partinya dan PBS dengan objektif untuk mengukuhkan kedudukan politik mereka menjelang pilihan raya negeri Sabah akan datang.
Sementara itu mengulas mengenai kongres PBS, Joachim berkata beliau telah diamanahkan untuk menyampaikan ucapan dasar dan memaklumkan Presiden parti Datuk Seri Dr Maximus Ongkili juga akan hadir pada kongres berkenaan.
"Pada kebiasaannya, ucapan dasar akan disampaikan oleh presiden parti tapi idea ini dicetuskan oleh presiden sendiri," katanya.
Terdahulu Julita berkata, kongres yang dijangka dihadiri 800 perwakilan itu akan diadakan di Persatuan Kebudayaan Kadazandusun di Penampang dan antara topik akan dibincangkan termasuk mengukuhkan parti serta landskap politik semasa Sabah.
Beberapa usul juga akan dikemukakan pada kongres itu termasuk membentuk sayap belia baharu, katanya.
-- BERNAMA
#Parti Bersatu Sabah #PBS #jawatankuasa khas #gabungan #STAR #Joachim Gunsalam
;