PBS masih berharap Pairin bertanding pada PRU14

Bernama
Disember 25, 2017 16:50 MYT
Pairin menyatakan hasrat 99 peratus untuk tidak bertanding pada PRU14 namun akan menggunakan baki satu peratus lagi untuk mendengar pandangan barisan kepimpinan parti. - Gambar fail
Parti Bersatu Sabah (PBS) masih berharap Presidennya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sekalipun beliau telah menyatakan hasrat untuk tidak berbuat demikian.
Pemangku Presiden Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata parti itu akan menggunakan ruang satu peratus yang diperuntukkan oleh Pairin untuk berunding mengenai perkara tersebut.
"Kita masih berbincang namun keputusan akhir adalah di tangan beliau," katanya Ongkili kepada pemberita pada Rumah Terbuka Krismas anjuran PBS di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini hari ini.
Pairin sebelum ini menyatakan hasrat 99 peratus untuk tidak bertanding pada PRU ke-14 namun akan menggunakan baki satu peratus lagi untuk mendengar pandangan barisan kepimpinan parti.
Mengulas lanjut, Ongkili berkata PBS memerlukan gandingan baharu dan lama khususnya pemimpin seperti Pairin yang banyak pengalaman.
Sementara itu, Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata parti tersebut akan mengemukakan sebanyak mungkin muka baharu pada PRU14 sambil mengekalkan calon berpengalaman di akar umbi.
Kira-kira 5,000 pengunjung hadir pada majlis yang berlangsung dari 10 pagi hingga 1 tengah hari itu.
Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor; Menteri Tugas-tugas Khas negeri Datuk Teo Chee Kang; serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).
-- BERNAMA
#Joseph Pairin Kitingan #Maximus Ongkili #PBS #pilihan raya umum #politik #PRU14
;