PBRS perlu cipta kekuatan sendiri, tidak terlalu bergantung kepada BN - Arthur
Bernama
Mac 10, 2023 00:23 MYT
Mac 10, 2023 00:23 MYT
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) perlu mencipta kekuatan sendiri dalam usaha mengukuhkan parti selain tidak mahu terlalu bergantung kepada Barisan Nasional (BN), kata Presidennya Datuk Arthur Joseph Kurup.
Menegaskan PBRS kekal setia bersama BN dan mempunyai semangat setiakawan utuh bersama parti komponen lain, beliau berkata PBRS perlu berusaha keras untuk memastikan ia memiliki sokongan yang kukuh terutama dalam kalangan rakyat di peringkat akar umbi.
"Tiada siapa boleh ramal BN yang menang 30 kerusi Parlimen (pada Pilihan Raya Umum ke-15) juga boleh duduk (menjadi) sebahagian kerajaan... Politik pada masa ini sukar untuk kita ramal dan dengan keadaan politik yang amat dinamik, kita memerlukan pendekatan lebih dinamik untuk kita maju ke hadapan menjadi parti yang lebih kukuh," katanya.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-29 PBRS serta Malam Tautan Kasih Jasamu Dikenang yang turut dihadiri bekas Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup.
PBRS adalah antara parti komponen BN bersama UMNO, MCA dan MIC.
Arthur berkata PBRS juga perlu mengekalkan faktor integriti dan kesetiaan yang diamalkan sejak sekian lama kerana ia adalah perkara penting yang dinilai rakyat dalam memberikan sokongan.
"Pengalaman 2018 (Pilihan Raya Umum ke-14) telah menguji kesetiaan ramai dalam parti kita dan BN sendiri. PBRS merupakan satu-satunya parti tempatan Sabah yang kekal setia bersama BN sejak 1994.
"Apapun keadaan kita, kesetiaan itu tanda perjuangan dan integriti kita. Senang susah kita kena bersama, perlu konsisten dengan perjuangan kita. Apa sahaja kedudukan kita, rakyat (akan) pandang kita dengan penuh yakin," katanya.
Beliau juga berkata PRU15 menyaksikan 10.6 juta orang atau separuh daripada pengundi adalah golongan muda, justeru PBRS perlu mengorak langkah untuk menarik sokongan mereka.
Katanya bagi tujuan itu, parti perlu melakukan peremajaan namun pada masa sama perlu bergandingan bersama pejuang lama dalam mengukuhkan lagi PBRS.
Arthur berkata PBRS juga perlu berjuang untuk politik pembangunan selain tidak mengetepikan kebajikan dan kepentingan rakyat.
-- BERNAMA