PBRS cadang wujud badan khas bangun ekonomi Bumiputera Sabah

Bernama
November 1, 2015 18:10 MYT
KURUP: PBRS berharap penubuhan badan ini akan dipertimbang dengan seriusnya," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada persidangan tritahunan parti itu di sini. - Gambar fail
Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hari ini mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan sebuah badan khas bagi memberi fokus dalam membangunkan ekonomi Bumiputera di Sabah.
Menyuarakan cadangan itu, Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup berkata badan khas itu dilihat amat penting selain mampu menjadi pendekatan proaktif dalam membuka peluang dan menyuntik harapan baharu kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Kurup, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata badan khas itu antara lain akan menggalas lima objektif utama iaitu meningkatkan keusahawanan; meningkatkan modal insan; menguatkan dan mengukuhkan aset tanah; meningkatkan pemilikan ekuiti; serta meningkatkan pembangunan pendidikan dan kebajikan.
"PBRS berharap penubuhan badan ini akan dipertimbang dengan seriusnya," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada persidangan tritahunan parti itu di sini, hari ini.
Persidangan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi BN Sabah.
Kurup berkata pewujudan badan khas itu sekali gus mampu mengukuhkan lagi keyakinan rakyat bumiputera Sabah terhadap BN.
"BN tidak hanya boleh menyalurkan mesej politik semata-mata tetapi yang lebih efektif adalah memikirkan penyampaian lebih berkesan seperti menerusi mesej ekonomi," katanya.
Beliau berkata Sabah akan terus maju dan kukuh di bawah kerajaan BN yang sentiasa prihatin serta peka dengan kehendak rakyat di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Kurup berkata undi daripada bumiputera Sabah khususnya bumiputera bukan Islam kepada BN pada pilihan raya umum ke-13 menunjukkan trend menurun.
Sehubungan itu, katanya BN perlu memikirkan cara efektif dalam mengukuhkan penguasaan BN dalam pilihan raya kelak.
"Didapati enam kawasan parlimen di Sabah termasuk Pensiangan dalam keadaan berisiko untuk PRU ke-14," katanya.
#BN #Joseph Kurup #Najib Tun Razak #PBRS
;