PBM gesa ada penetapan tarikh PRU16
Sinar Harian
Oktober 1, 2022 07:45 MYT
Oktober 1, 2022 07:45 MYT
SHAH ALAM: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggesa supaya ada penetapan tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, penetapan tarikh itu penting susulan keadaan politik yang bercelaru pada masa ini.
"Ini penting dalam penetapan, kita dalam keadaan politik yang bercelaru dan tiap hari tanya bila pilihan raya?
"Tidak ada ketentuan malah negara-negara maju telah mula menetapkan tarikh pilihan raya.
“Sudah tiba masanya PBM mengangkat agenda ini agar ada tarikh pilihan raya ditetapkan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama 2022 PBM pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata, menerusi tindakan itu memudahkan ahli politik, ahli perniagaan, pelabur, ekonomi dan pentadbiran kerajaan merancang serta merencana dengan baik.
"Tidak bercelaru begini, pelabur tak masuk. Adakah kita nak terus dalam keadaan sebegini?
"Bila kita ada tarikh (PRU) yang tepat ia memudahkan semua pihak termasuk pelabur, pegawai kerajaan dan ekonomi berjalan dengan lancar," ujar beliau.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, perkara yang membezakan partinya dengan parti-parti lain di negara ini adalah dari segi doktrin.
"Kita ada doktrin kita sendiri di mana pemikiran anggota kita tertakluk kepada rukun negara," jelasnya. -Sinar Harian