PBB sentiasa sediakan kuota 10 peratus untuk muka baharu - Fadillah

Nickyson Nyambar
Mac 11, 2021 19:56 MYT
Menurut Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof, sekurang-kurangnya 10 peratus kuota diperuntukkan untuk memperkenalkan muka-muka baharu di bawah parti itu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersedia membuka ruang untuk calon baharu mewarnai Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12), kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Naib Yang Dipertua Kanan PBB merangkap Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu, sudah menjadi amalan buat parti itu untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus bagi tujuan tersebut.
Jelasnya, ini termasuk dalam kalangan generasi muda.
"Dalam konteks GPS, saya tidak berani untuk mengatakan perkara ini, tetapi dalam parti kami iaitu PBB biasanya kita akan memperuntukkan 10 peratus sekurang-kurangnya kepada muka-muka baharu.
"Malahan di peringkat PBB itu sendiri memang menjadi amalan, sesiapa sahaja yang merasakan sudah cukup masa untuk mereka berundur, maka mereka akan umumkan.
"Perkara itu sudah berlaku di peringkat PBB itu sendiri, beberapa wakil rakyat sudah mengumumkan mereka bersedia melepaskan kerusi buat muka baharu," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Rabu.
PBB sedia tampil muka baharu
Mengulas berkenaan penambahan kuota berjumlah 10 peratus buat calon baharu itu, jelas Fadillah perkara tersebut perlu bergerak seiring dengan keadaan semasa.
"Ini melihat kepada keadaan dan dari segi amalannya. Seeloknya ada gabungan. Pertama sekali kita perlu meneliti generasi yang berpengalaman, generasi pertengahan dan generasi muda untuk kita asuhkan.
"Memang ada persiapan sedemikian," tambah Fadillah.
Ujarnya, perlu ada gandingan antara generasi lama dan baharu dalam memastikan keseimbangan dalam komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
#Parti Pesaka Bumiputera Bersatu #PBB #Datuk Seri Fadillah Yusof #Menteri Kanan Kerja Raya #PRN12 #pilihan raya Sarawak #Sarawak Memilih #calon baharu
;