PBB sedia hadapi PRN Sarawak ke-12
Astro Awani
Jun 20, 2020 16:39 MYT
Jun 20, 2020 16:39 MYT
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Pantai Damai kini bersedia menggerakkan jentera parti sebagai persiapan hadapi Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN 12).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata pihaknya kini berada dalam mod aktif untuk membantu menyumbang kepada kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) berkata, jawatankuasa tertinggi serta ahli parti PBB juga akan terus menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Bila kita menyebut siap siaga ini bukanlah retorik semata-mata, ia juga bukan untuk menyenangkan hati masyarakat sahaja.
“Malah pemerkasaan strategi dalam menghadapi detik penting itu juga akan dilakukan bagi memastikan gerak kerja parti berjalan dengan lancar dan sistematik,” tambahnya.
Abdul Rahman berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PBB cawangan Pantai Damai di sini hari ini.
Ujarnya lagi, pihaknya juga kini sedang giat mendaftarkan lebih ramai anggota masyarakat berusia 18 tahun dan ke atas dalam DUN Pantai Damai untuk menyertai PBB.
Menerusi strategi ini, ia membolehkan PBB terus memiliki keahlian yang teramai dalam menghadapi PRN ke-12 akan datang.
#AWANI Sarawak
#Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
#Gabungan Parti Sarawak
#GPS
#Kuching
#Pantai Damai
#Parti Pesaka Bumiputera Bersatu
#PBB
#PRN Sarawak