PBB mahu terus jadi parti tulang belakang Sarawak - Abang Johari

Bernama
Ogos 11, 2015 02:56 MYT
ABANG JOHARI: Tidak menjadi masalah untuk PBB meneruskan kecemerlangannya seandainya anggota parti itu terus bersatu seperti yang berlaku sekarang.
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu terus mempertahankan kedudukannya sebagai parti tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri Sarawak.
Timbalan presidennya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata PBB akan bekerja keras untuk mengulangi kecemerlangannya pada pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata adalah tidak menjadi masalah untuk PBB meneruskan kecemerlangannya seandainya anggota parti itu terus bersatu seperti yang berlaku sekarang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PBB Zon Kuching di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem serta isteri masing-masing.
Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak berkata seluruh ahli PBB kini menyokong penuh kepimpinan Adenan sebagai presiden parti itu dan Ketua Menteri Sarawak.
Katanya, sejak dilantik sebagai ketua menteri Sarawak pada 28 Februari tahun lepas, begitu banyak perubahan yang telah dilakukan oleh Adenan termasuk memansuhkan tol, menurunkan tarif elektrik dan membanteras kecurian balak.
Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat di bawah kepimpinan Najib yang memberi peruntukan pembangunan yang lebih besar ke negeri Sarawak.
#Abang Johari Tun Openg #Barisan Nasional #BN #Parti Pesaka Bumiputera Bersatu #PBB