PBB: Fokus agenda makmurkan Sarawak selepas menang besar PRN

Rudi Affendi Khalik
Jun 16, 2022 20:56 MYT
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan Perhimpunan Agung Tritahunannya ke-15 pada Sabtu, melibatkan seramai 2,420 delegasi.
PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan Perhimpunan Agung Tritahunannya ke-15 pada Sabtu, melibatkan seramai 2,420 delegasi.
Mereka akan berkampung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), dengan perhimpunan akan didahulukan oleh mesyuarat di peringkat Pemuda dan Wanita – yang akan dirasmikan oleh Presiden parti, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada jam 10 pagi.
Dalam mesyuarat ini, Adun Serembu, Miro Simuh akan disahkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PBB yang baharu, manakala Adun Dalat, Datuk Seri Fatimah Abdullah akan mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pergerakan Wanita.
Pada penggal akan datang, akan wujud satu lagi sayap yang dikenali sebagai Sayap Belia PBB – yang konsep dan rupanya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat pada kali ini.
Pada Sabtu, Abang Johari dijadualkan merasmikan perhimpunan agung peringkat induk sekitar jam 10.00 pagi, sebelum menyampaikan ucap tamanya pada sebelah petang.
Ucapan perasmian dan ucap tama pada kali ini dijangka penting, kerana ia merumus hala tuju parti itu, yang memasuki era baharu, sebelum mencapai status jubli emas pada tahun hadapan. Pada 30 April lalu, parti ini telah berusia 49 tahun.
Antara isu yang akan diangkat serta diperdebat termasuklah isu Perjanjian Malaysia 1963; politik baharu Malaysia menjelang PRU ke-15; dana kedaulatan; ekonomi hidrogen; penguasaan ruang udara Sarawak serta deposit dan stok karbon.
Kesemua isu ini sebenarnya amat relevan dan penting, bagi meraikan tema perhimpunan, ‘Menjamin kestabilan, kemakmuran dan kegemilangan Sarawak’.
Tentu sekali yang turut disentuh adalah kepentingan untuk mengukuh kestabilan parti yang telah meraih kemenangan dan sokongan luar biasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember lalu.
Dalam pilihan raya bersejarah tersebut, PBB secara bersendirian memenangi 48 daripada keseluruhan 76 kerusi yang ditakluki Gabungan Parti Sarawak (GPS). Ia membolehkan parti ini membentuk Kabinet Negeri, yang kini mempunyai lapan menteri penuh, termasuk Premier dan Timbalan Premier selain 17 timbalan menteri.
Di peringkat Dewan Rakyat, PBB memiliki 13 wakil, dengan empat daripadanya bertaraf menteri penuh manakala tiga lagi timbalan menteri.
Di peringkat Dewan Negara pula, PBB ada tiga wakil, dengan dua daripadanya lantikan Dewan Undangan Negeri manakala seorang lagi lantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Justeru perhimpunan ini juga adalah platform terbaik untuk parti ini memastikan tiada lagi kerusi miliknya terlepas ke tangan lawan, seperti yang berlaku pada tahun 2018, di Parlimen Puncak Borneo.
Sebagai tulang belakang untuk politik, ekonomi dan pembangunan negeri Sarawak, perhimpunan kali ini penting, kerana di sinilah ‘suara rakyat’ diangkat melalui pentas politik yang sebenar, tanpa prejudis.
Untuk rekod, perhimpunan kali ini menyaksikan berlakunya pertandingan untuk Majlis Tertinggi parti (sayap Bumiputera). Sebanyak 23 calon telah mendaftarkan diri untuk bersaing bagi mengisi 16 kekosongan yang ada.
Sehingga tarikh tutupnya minggu lalu, hanya seorang yang menarik diri – sekali gus menyaksikan persaingan akan terbuka di kertas undi pada 18 Jun depan.
Ia pentas yang menarik sebenarnya, kerana daripada 22 yang kini tinggal bersaing, lima merupakan Timbalan Menteri; lima Adun; seorang ahli parlimen dan dua Setiausaha Politik.
PBB terhasil daripada penggabungan tiga buah parti politik di Sarawak -- Parti Negara Sarawak (PANAS), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA), dan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA).
Ia diilhamkan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, sewaktu beliau menjadi Setiausaha Agung BARJASA.
Ia bermula dengan BARJASA dan PANAS bergabung untuk membentuk Parti BUMIPUTERA pada bulan Mac 1968. Allahyarham Tan Sri Abang Ikhwan Zaini kemudian menjadi Presiden pertamanya dan Abdul Taib berperanan sebagai Setiausaha Agung.
Pada 30 April 1973, Parti BUMIPUTERA dan PESAKA bergabung, dan ia melahirkan PBB. Tun Jugah Barieng dilantik sebagai Presiden pertamanya.
Keahlian parti ini kini dikatakan hampir mencapai 400 ribu orang, dengan 82 cawangan, serta lebih seribu ranting.
#Konvensyen PBB #Abang Johari Tun Openg #politik sarawak #Sayap Belia PBB
;