PAU2023: Wujudkan elaun sewa rumah, teliti kadar siling sewaan - Dr Akmal

Hilmi Malik
Jun 8, 2023 16:04 MYT
Kata Dr Akmal isu perumahan masih lagi membelenggu golongan belia yang sehingga hari ini masih tiada penyelesaian yang konkrit. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR : Pemuda UMNO mencadangkan agar kerajaan dapat mewujudkan elaun sewaan rumah serta mengkaji pelaksanaan harga siling bagi kadar sewaan rumah.
Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya akan menjalinkan libat urus bersama-sama pemegang taruh seperti wakil belia, pemaju, institusi perbankan dan agensi-agensi kerajaan dan swasta.
Menurut Dr Akmal, isu perumahan merupakan permasalahan yang masih kritikal dalam kalangan belia apatah lagi mereka yang berhasrat untuk memiliki rumah pertama.
“Sebuah Jawatankuasa Khas Perumahan Orang Muda, di bawah sayap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, akan ditubuhkan bagi menuntut inisiatif yang segar dan lebih baik.
“Saban tahun kita bercakap, berbahas dan berdialog tentang dua isu besar ini. Saban tahun jugalah, kita masih mencari pendekatan dan solusi.
“Bagi isu perumahan, Statistik Bancian 2020 menunjukkan pemilikan rumah bagi kalangan belia bawah 40 tahun hanya mencecah 44 peratus. Dalam erti kata lain, 56 peratus masih lagi tidak mampu memiliki rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Ujarnya lagi, isu berkenaan turut dirasai golongan mahasiswa yang terhimpit dengan bebanan tersebut mengakibatkan mereka terpaksa mengikat perut.
Tambah ADUN Merlimau itu lagi, inisiatif berkenaan bukanlah perkara yang mustahil untuk dilaksanakan kerana ia sudah dilakukan oleh beberapa negara luar.
“Saya percaya perkara ini boleh dilaksanakan dengan kajian yang mendalam. Hal ini telah dilaksanakan di Australia, Jerman, New Zealand, dan Perancis. Pemuda UMNO Malaysia akan meneliti isu pemilikan rumah belia secara serius,” katanya lagi.
Mengambil contoh sewaktu era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Skim Rumah Pertamaku (SRP) telah banyak membantu golongan belia termasuk kelompok B40 apabila data menunjukkan 90 peratus manfaat tersebut telah diberi kepada golongan terbabit.
Selain itu, isu pendidikan antara tumpuan kedua terpenting yang disuarakan Pemuda UMNO yang dilihat menjadi penilaian penting dalam kalangan rakyat.
Pemuda katanya tidak mahu dilihat hanya sebagai mereka yang petah berbicara soal politik dan rakyat tanpa mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.
“Saya seru para Pemuda UMNO, untuk mendapatkan sekurang-kurangnya segulung diploma dalam tempoh anda semua sebagai Pemuda.
“Kita mahu Pemuda UMNO, berani dan bijak berdiri di pentas masyarakat bagi berbicara soal polisi dan dasar kerajaan. Kita tak mahu orang melihat Pemuda hanya sebagai pemasang bendera semata-mata,” ujarnya lagi.
#Pemuda UMNO #Perhimpunan Agung UMNO #Dr Akmal Saleh #isu perumahan #PAU 2023
;