PAU2023: UMNO tetap berdiri atas prinsip perjuangan parti - Puteri UMNO
Astro Awani
Jun 8, 2023 15:03 MYT
Jun 8, 2023 15:03 MYT
KUALA LUMPUR: Biarpun berada dalam Kerajaan Perpaduan yang mempunyai ideologi politik yang berbeza, UMNO tetap berdiri atas prinsip perjuangan parti.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan identiti parti masih sama, namun apa yang boleh ditambah baik adalah anjakan pola fikir dan gagasan fikiran yang lebih terbuka.
Nurul Amal menjelaskan biarpun membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan, jati diri UMNO terus utuh, malah lebih kukuh menyusur waktu.
"Perkasakan rumah kita ini, tegakkan tiang seri yang menjadi tonggak keteguhan rumah ini, jangan robohkan rumah kita dari dalam, agar kita semua dapat terus berteduh dan tinggal harmoni di dalamnya.
"Kalau rumah kita bocor, kita semua akan berasa bahang panas dan tempias hujan.
"UMNO masih lagi diperlukan dalam negara ini. Kita ada kebolehan dan kelebihan yang tak dapat disangkal.
"Pengalaman pemimpin kita dalam mentadbir urus negara usah dipertikai. Sejarah pemimpin-pemimpin UMNO sebagai menteri-menteri yang memegang portfolio yang hebat dan penuh kredibiliti telah terbukti.
"Malah, mereka berjaya mengangkat kedudukan negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO pada Khamis.
Nurul Amal menjelaskan, pendekatan 3P yang merujuk Perpaduan, Perhebat dan Perkemas akan menjadi hala tuju setahun pertama kepemimpinan baharu Puteri UMNO.
Ujar beliau, Puteri UMNO juga perlu memfokuskan kepada hasil dengan menepati intipati 3S, iaitu Santun, Selaras dan Sebar bagi memastikan gerak kerja yang jelas serta terurus.
Nurul Amal turut mengetengahkan lima isu utama perlu diberi tumpuan iaitu ledakan ekonomi gig, menarik minat anak muda melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, inisiatif MyBrain, sistem percukaian lebih berstruktur dan bersasar serta elaun latihan industri.