PAU2023: UMNO perlu bangkit jadi pilihan rakyat - Wan Rosdy

Fareez Azman
Jun 10, 2023 06:37 MYT
Wan Rosdy menunjukkan buku 'UMNO Bangkit Demi Masa' sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 10 Jun 2023. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan parti itu perlu bangkit dan terus kekal relevan agar mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Jelas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh lebih 3.4 juta undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, iaitu hampir sama dengan jumlah ahli partinya.
"Pada PRU15 lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan, BN memperolehi undi sebanyak 3,455,762 di seluruh negara, iaitu hampir sama banyak jumlahnya dengan ahli parti kita.
"Berdasarkan angka ini, dan jika mengikut aturan logiknya, jumlah undi yang sepatutnya diperolehi UMNO, pada PRU yang lalu, seharusnya lebih besar, berbanding jumlah keseluruhan ahli parti," jelasnya.
Berucap menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam, Wan Rosdy berkata, UMNO dan BN perlu menjadi parti yang menjuarai isu rakyat dan mendapat sokongan masyarakat.
"Persoalannya sekarang, adakah UMNO dan BN hanya mendapat sokongan undi daripada ahli-ahli parti sahaja? Atau, adakah kita gagal mempengaruhi ahli keluarga dan saudara terdekat untuk menyokong kita?
"Atau, adakah jumlah ahli UMNO yang benar-benar setia kepada perjuangan parti, jauh lebih rendah berbanding angka rasmi yang kita banggakan?
"Kita harus mempunyai jawapan yang jujur dan ikhlas kepada persoalan ini. Jika kita merasakan ahli parti kita kurang berkemampuan untuk mempengaruhi ahli keluarga dan saudara terdekat untuk menyokong kita, masalah ini harus kita tangani segera," katanya lagi.
Pada masa sama, Wan Rosdy turut mengumumkan UMNO akan menubuhkan Jemaah Pemikir bagi menasihati dan memberi panduan berhubung latihan dan perkaderan yang sesuai dengan masa kini.
Jelasnya, Jemaah Pemikir itu akan melibatkan kerjasama beberapa tokoh pemimpin yang bakal menjadi fasilitator terlatih untuk melahirkan generasi pemimpin baharu.
"Majlis Perkaderan dan Latihan telah mengumpulkan lebih 70 orang Pembimbing Pemukiman yang terdiri daripada fasilitator terlatih yang mempunyai pengalaman luas dan pernah berkhidmat bersama JASA, Seranta, Biro Tatanegara dan beberapa organisasi lain," tambahnya.
#UMNO #PAU 2023 #Wan Rosdy Wan Ismail #PRN
;