PAU2023: 'Tiada isu Pemuda UMNO nak boikot Presiden' - Dr Akmal

Sinar Harian
Jun 10, 2023 19:24 MYT
Dr Akmal bercakap pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia pada Sabtu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menafikan sayap parti itu tidak sehaluan dengan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ekoran kelantangannya mengenai beberapa isu terutama berkaitan DAP.
Beliau berkata, kelantangannya yang menuntut parti berkenaan memohon maaf kepada UMNO adalah suara akar umbi sekali gus menjadi tanggungjawabnya untuk menyuarakan perkara berkenaan.
"Tidak ada pergeseran antara Pemuda dengan Presiden (Ahmad Zahid). Pemuda tidak menentang Presiden (tetapi) kami hanya membawa suara akar umbi, kami tetap hormati institusi Presiden.
"Tidak ada isu nak boikot (Presiden) dan sebagainya. Memang tiada," katanya pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus terdapat sebilangan perwakilan Pemuda yang seakan-akan menunjukkan ketidakpuasan hati secara terang-terangan dengan tidak berdiri ketika Ahmad Zahid hadir ke Perhimpunan Agung Pemuda yang berlangsung pada Jumaat.
Dalam pada itu Dr Muhamad Akmal dengan tegas menepis dakwaan berkenaan dan meminta pihak yang membangkitkan perkara itu menonton semula video ketika ketibaan Presiden di dewan.
"Tidak betul. Bila Presiden datang, kami bangun dan tepuk tangan untuk Presiden, malah saya sendiri duduk di bawah meraikan kehadirkan beliau bersama kita," katanya.
Sementara itu mengenai tuntutan maaf daripada DAP, beliau berkata, ia mampu meredakan suhu politik terutama dalam kalangan penyokong UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
"Bila kita minta DAP minta maaf bukannya kita tak 'move on', kita tetap berjalan seperti biasa tetapi ini adalah suara akar umbi yang perlu diterjemahkan sebagai pemimpin.
"Sama ada DAP mahu minta maaf atau tidak, terpulang kepada DAP untuk memikirkan apa kebaikan dan keburukan. Kita nak menghadapi (PRN) bersama. Sudah tentu kedua-dua pihak perlu rasa senang hati dan boleh bekerjasama," ujarnya. -- Sinar Harian
#PAU 2023 #Pemuda UMNO #boikot Presiden #Dr Akmal
;