PAU2023: "Saya hadir untuk sempurnakan tugas negara" - PM Anwar
Ridauddin Daud
Jun 9, 2023 13:00 MYT
Jun 9, 2023 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kehadirannya ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023) adalah untuk menyempurnakan tugas negara.
Menurutnya, pengalaman peribadi buatnya juga adalah penting tapi ia tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan negara.
“Saya hadir semula kerana saya gunakan reform perpaduan ini untuk memperkukuh kerajaan dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya tentunya rasa selesa, senang dan kerana dah biasa suasana itu… masih menghafal lagu itu (lagu UMNO)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian PAU2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Khamis.
Selepas dipecat daripada UMNO pada 1998, Anwar kembali menjejakkan kaki ke Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi menyertai Perhimpunan Agung UMNO, hari ini.
Perdana Menteri yang memakai baju Melayu berwarna biru tiba pada jam 9 pagi dan disambut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Kehadiran beliau turut disambut beberapa pemimpin UMNO lain dan kira-kira 6,000 perwakilan parti yang sudah berada di Dewan Merdeka sejak awal pagi tadi.
Selain Anwar, turut hadir ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Warisan Negara (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Anwar beredar meninggalkan WTCKL pada jam 11.30 pagi bagi meneruskan program beliau sebelum menunaikan Solat Jumaat di Ampang, Kuala Lumpur.