PAU2023: Lembaga Disiplin UMNO teliti rayuan ahli dikenakan tindakan disiplin

Umavathi Ramayah
Jun 10, 2023 21:00 MYT
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, bagaimanapun setakat ini, pihaknya hanya menerima rayuan daripada mereka yang digantung. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin UMNO akan meneliti kesemua rayuan yang dikemukakan oleh ahli-ahli parti itu yang dikenakan tindakan disiplin.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, bagaimanapun setakat ini, pihaknya hanya menerima rayuan daripada mereka yang digantung.
"Lembaga Disiplin akan membuat penelitian terhadap semua rayuan yang dikemukakan, MKT sangat terbuka untuk mengambil sebarang cadangan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin.
"Lazimnya laporan daripada Lembaga Disiplin sama ada menyokong atau menolak (rayuan) tersebut akan dibawa ke jawatankuasa pengurusan.
BACA: PAU2023: 'UMNO terbuka untuk terima kembali ahli digantung, dipecat' - Zahid
"Laporan daripada jawatankuasa pengurusan akan dibawa kepada MKT dan akhirnya hanya MKT yang boleh membuat keputusan muktamad mengenai sebarang keputusan sama ada memberi amaran, menggantung atau dipecat," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, rundingan agihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya melibatkan gabungan parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, tiada rundingan mengenai agihan kerusi itu melibatkan parti komponen.
"Kita akan bertemu dengan kepimpinan PH setelah proses antara parti selesai, maknanya rundingan hanya akan diadakan melibatkan gabungan dan gabungan.
"Saya jangka mungkin (rundingan) akhir bulan ini, bergantung kepada jadual Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya lagi.
Dalam pada itu, ujarnya, dalam mengukuhkan parti di semua peringkat, UMNO sudah sudah memulakan latihan dan kursus.
"Kita sudah bertemu dengan ketua-ketua penerangan di semua peringkat bahagian dan kita bermula dengan soal pemukiman dengan enam negeri yang terlibat dalam PRN," jelasnya.
#Lembaga Disiplin UMNO #ahli digantung dan dipecat #MKT UMNO #Ahmad Zahid Hamidi
;