PAU2023: Isu perumahan, kekuatan UMNO, peluang pekerjaan fokus perbahasan
Bernama
Jun 10, 2023 17:08 MYT
Jun 10, 2023 17:08 MYT
KUALA LUMPUR: Isu perumahan, usaha memulihkan semula kekuatan UMNO dan peluang pekerjaan mendominasi sesi perbahasan oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023.
Para perwakilan pada perhimpunan yang bermula sejak Rabu lepas itu menggesa kepimpinan UMNO untuk melakukan tindakan tuntas mengembalikan semula kekuatan parti dan menjadikan UMNO kembali menjuarai isu rakyat, khususnya orang Melayu.
Perwakilan daripada Pemuda UMNO Mohd Kurniawan Naim Moktar di dalam perbahasannya menyeru pimpinan parti yang berada di dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan supaya menyelesaikan isu pemilikan dan penyewaan rumah yang semakin membelenggu rakyat.
Beliau berkata kerajaan pada hari ini perlu memperkenalkan inisiatif baharu serta lebih baik bagi menggantikan skim sifar deposit yang dilaksanakan pada zaman Barisan Nasional (BN) namun telah dimansuhkan.
"Begitu juga dengan sewa rumah, bukan semua orang boleh beli rumah. Di negara kita ini, sewa rumah boleh dinaikkan sesuka hati oleh tuan rumah. Tidak ada yang memantau dan membela nasib penyewa-penyewa rumah," katanya.
Justeru Bendahari Pemuda UMNO Pusat yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan itu mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan peraturan kenaikan siling kadar sewa rumah di negara ini bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
"Permasalahan akar umbi ini akan dirangkum dan dikumpul dan diserah kepada pimpinan untuk tindakan lanjut. Pemuda meletakkan harapan kepada menteri dan timbalan menteri UMNO untuk menyelesaikan masalah rakyat ini," katanya.
Perwakilan dari Johor Noor Azleen Ambrose pula berkata cabaran yang perlu dihadapi UMMO ketika ini adalah untuk menguruskan bangsa Melayu yang sifatnya semakin moden, terbuka, islamik dan juga maju pemikirannya.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata UMNO perlu memperbaharui kefahamannya tentang erti agenda Melayu di samping melakukan pembaharuan secara berterusan dan konsisten kerana hakikatnya kini parti itu lebih memerlukan orang Melayu berbanding orang Melayu memerlukan UMNO.
"Hakikat dan realiti, UMNO tidak mungkin akan terus hidup jika terus ditolak oleh sebahagian besar orang Melayu. Kita akan mati kalau kita gagal dapat sokongan orang Melayu... Agenda Melayu bukan lagi bererti menjadi suara paling lantang, bukan memainkan isu perkauman, bukan menjadi populis dan jaguh jalanan semata-mata.
"Dengan segala kekuatan dan perkakasan yang dikuasai UMNO dalam kerajaan, tidak ada sebab untuk UMNO gagal menjuarai orang Melayu," katanya.
Sementara itu Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai Nooryana Najwa Mohd Najib pula mencadangkan Kerajaan Perpaduan supaya fokus kepada penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk manfaat golongan muda.
Beliau yang berucap mewakili Puteri UMNO berkata kerajaan seharusnya melabur di dalam projek yang boleh membawa pulangan besar serta mampu menghasilkan limpahan ekonomi kepada negara.
"Di samping itu, sektor swasta dan sektor awam haruslah berganding bahu dalam merapatkan jurang ilmu dan kemahiran para graduan dalam usaha memenuhi keperluan industri.
"Kita tidak mahu melihat anak-anak muda kita hanya 'marketable' di Malaysia sahaja, tetapi (juga) boleh menjadi pemain global bertaraf antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA