PAU2022: Usul Presiden, Timbalan tak dipertanding patuh Perlembagaan UMNO - Ahmad Zahid

Hasimi Muhamad
Januari 14, 2023 19:40 MYT
Ahmad Zahid berkata usul tambahan tersebut selaras dan mengikuti beberapa fasal dalam Perlembagaan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: UMNO mengesahkan bahawa usul tambahan yang dikemukakan oleh perwakilan agar dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan adalah mematuhi perundangan dan Perlembagaan Parti.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usul tambahan tersebut selaras dan mengikuti beberapa fasal dalam Perlembagaan.
"Perkara ini telah dijelaskan mengikut fasal-fasal dalam Perlembagan Parti dan peraturan. Jika ada mengatakan terdapat usul yang tidak sah di dalam dewan dan beberapa perkara tidak diikuti oleh Pengerusi tetap, saya yakin perkara itu telah mendapat nasihat daripada penasihat undang-undang UMNO sendiri dan juga Lembaga Disiplin UMNO.
"Sudah tentu pengamal undang-undang dan penasihat undang-undang UMNO dan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO pasti lebih tahu bahawa perjalanan mesyuarat dan peraturan yang diikuti adalah mengikut apa yang telah termaktud dalam Perlembagaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas ucapan penggulungan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), pada Sabtu.
BACA SEMUA BERHUBUNG PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2022
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menambah bagi jawatan-jawatan Naib Presiden dan ke bawah pula, ia masih terbuka seperti biasa.
Katanya lagi, Perhimpunan Agung UMNO merupakan badan tertinggi dalam parti tersebut dan ia telah dimuktamadkan oleh para perwakilan.
"Rasional terhadap perkara ini telah pun diperincikan oleh semua jurucakap dan saya juga meneliti ucapan dasar, ketua-ketua saya, dan jurucakap negeri.
"Maka keputusan tadi merupakan keputusan muktamad sesuai dengan apa saya nyatakan di dalam wawancara atau kenyataan media bahawa sesungguhnya kami menyerahkan soal ini kepada perwakilan," katanya lagi.
#PAU2022 #Zahid Hamidi #tanding jawatan presiden #perlembagaan parti
;