PAU2022: UMNO akan pinda Perlembagaan selari Akta Antilompat Parti - Ahmad Maslan
Fareez Azman
Januari 3, 2023 17:20 MYT
Januari 3, 2023 17:20 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO akan meminda Perlembagaan parti itu supaya selari dengan Akta Antilompat Parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) pada 13 Januari.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, perkara itu akan dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Langkah ini supaya ia berkaitan dan bersamaan (selari) dengan Akta Antilompat Parti... sebelum ini elemen gugur jadi ahli tidak berkaitan sangat dengan Akta Antilompat Parti. Jadi apa kita nak buat supaya ia selaras dengan Akta Antilompat Parti.
"Jadi kita masukkan elemen itu bagi penguguran mereka jadi ahli UMNO apabila mereka keluar daripada parti merujuk kepada akta itu," katanya dalam sidang media PAU 2022 di Menara Dato Onn di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, tambah Ahmad, pindaan itu membabitkan Fasal 20.11 yang menyebut seseorang ahli yang menang bertanding namun bertindak meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan pada pilihan raya akan gugur keahliannya dengan sendiri.
Sementara itu, PAU 2022 jelas Ahmad turut menyaksikan pindaan Fasal 8.4 iaitu pertambahan perwakilan secara automatik.
Ia melibatkan Ketua Penerangan Bahagian UMNO dan tiga sayap peringkat bahagian seluruh negara.
"Mengenai Ketua Penerangan, Wanita, Pemuda, Puteri bahagian menjadi perwakilan automatik. Itu sebab saya bacakan tadi 174 orang Ketua Penerangan Bahagian, 167 orang Ketua Penerangan Wanita, 177 orang Ketua Penerangan Pemuda, 155 orang Ketua Penerangan Puteri.
"Mereka semua itu adalah pemerhati pada tahun ini. Pada tahun hadapan, 191 orang darab empat (764 orang) akan menjadi perwakilan automatik untuk PAU," katanya.
PAU2022 akan diadakan bermula 11 hingga 14 Januari depan melibatkan 5,523 orang perwakilan seluruh negara.