PAU2022: Siasat dulu, UMNO tak pecat ahli sewenang-wenang - Isham Jalil

Hasimi Muhamad
Januari 12, 2023 15:35 MYT
Ketua Penerangan UMNO Hizatul Isham Abdul Jalil pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan memecat mana-mana ahli atau pemimpinnya dengan sewenang-wenangnya, kata Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil.
Sebaliknya, Isham berkata, individu berkenaan termasuk yang dilabel sebagai pengkhianat perlu melalui proses siasatan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Pendapat saya, sesiapa yang ada masalah disiplin dalam parti, pertama sekali kita akan siasat.
"UMNO ini ada proses bila kita nak singkirkan orang, kita tak main pecat sahaja. Kita ada Jawatankuasa Disiplin, Lembaga Disiplin dan Jawatankuasa Pengurusan.
"Setiap kali kita nak buat tindakan disiplin (ia perlu) kelulusan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
"Jadi proses itu penting, kita tak boleh pecat orang sewenang-wenangnya," katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pengamal media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.
PAU 2022 | Apa makna demokrasi dalam UMNO?
Terdahulu, Pemuda UMNO mendesak agar 'pengkhianat' parti disingkirkan daripada terus merosakkan institusi politik Melayu terbesar itu.
Malah, gesaan sama turut disuarakan oleh Puteri UMNO, agar tindakan segera diambil terhadap ahli yang terbukti cuba memusnahkan parti.
Isham menambah, jika betul berlaku pelanggaran disiplin dan unsur sabotaj terhadap parti dan mereka terbukti bersalah, individu berkenaan tidak akan terlepas daripada tindakan parti.
PAU 2022 | Pemuda UMNO desak singkir pengkhianat
Dalam pada itu, Isham enggan mengulas dakwaan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pendedahan itu dibuat Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena PAU2022, semalam.
"Ada di luar mengatakan perkara itu, cuma saya tak boleh mengulas perkara itu.
"Sebab perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat tertutup dalam UMNO walaupun dalam mesyuarat itu melibatkan 3,000 orang. Saya tak nak ulas sebab mesyuarat dalaman," ujar Isham.
#Zahid Hamidi #PAU2022 #Isham Jalil #Perhimpunan Agung UMNO
;