PAU2022: Siapa pun jadi Presiden, akar umbi sentiasa sokong - Perwakilan Wilayah

Hasimi Muhamad
Januari 14, 2023 13:17 MYT
Zainal Abidin berpandangan, pemilihan parti perlu diadakan di semua peringkat termasuk melibatkan dua jawatan tertinggi parti - Sumber foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: UMNO Wilayah Persekutuan berpandangan sesiapa pun yang dilantik menjadi Presiden, akar umbi akan sentiasa terbuka untuk menyokong demi pengukuhan Parti Melayu itu.
Justeru, Ketua Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique berpandangan, pemilihan parti perlu diadakan di semua peringkat termasuk melibatkan dua jawatan tertinggi parti.
"Saya berpendapat, kalau perlu pertandingan, sama ada yang hantar penyerataan untuk bertanding atau tak, itu cerita lain yang penting kita kena buka dan itu pandangan UMNO Wilayah.
"Pemilihan parti perlu diadakan di semua peringkat termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. (Bagaimana penerimaan perwakilan?) Saya tengok tadi diterima baik," katanya kepada media selepas membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), di sini pada Sabtu.
BACA SEMUA BERHUBUNG PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2022 DI SINI
Ditanya mengenai dakwaan 140 Ketua Bahagian menyokong agar dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan, Zainal mempertikaikan jumlah bilangan mereka yang menyokong.
"Betul ke 140 Ketua Bahagian? Tak sampai, itu satu kumpulan dan mereka ada pemikiran sendiri. Itu terpulang kepada mereka," tambah beliau.
Dalam masa yang sama, beliau berkata PAU2022 juga sepatutnya lebih memfokuskan kepada membaik pulih parti selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Itu terpulang kepada perwakilan siapa mereka nak, bagi saya lebih penting kita kaji kekalahan kita.
"Tiga perkara yang saya bangkikan dalam ucapan ialah kita kena ikhlas akui kekalahan, kedua kita kena fikir balik pengundi-pengundi di luar sana, dan fikir cara kita berpolitik mungkin sudah tidak relevan.
"Ketiga kita perlu lihat kepada struktur parti untuk memastikan kita lebih fleksibel," ujar Zainal.
Sementara itu, UMNO Pahang pula masih belum memutuskan pendirian sama ada mahu dua jawatan tertinggi dalam parti dipertandingkan, atau sebaliknya.
Ketua Pemuda Bahagian Raub, Fadzli Mohamad Kamal berkata, perkara itu diserahkan kepada Pengerusi Badang Perhubungan UMNO Pahang untuk dimuktamadkan.
"Kita sentiasa terbuka dengan hasrat akar umbi dan sudah menjadi tradisi di Pahang ini kita patuh kepada pendirian dan keputusan yang akan dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, apa sahaja yang akan diputuskan kita akur," katanya.
#PAU2022 #PRU15 #Pemilihan UMNO #Ahmad Zahid Hamidi
;