PAU2022: Presiden UMNO beritahu beliau 'ready to fight' - Khairy

Ridauddin Daud
Januari 12, 2023 05:53 MYT
Menerusi video dimuat naik dalam TikTok beliau pada Khamis, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menyatakan Ahmad Zahid berkata kepadanya bahawa beliau sedia untuk berentap dalam pemilihan parti. - TikTok Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR: Di sebalik kenyataan 140 Ketua Bahagian UMNO yang mendesak jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti, Khairy Jamaluddin mendakwa Presiden UMNO sendiri menyatakan beliau sedia untuk dicabar.
Menerusi video dimuat naik dalam TikTok beliau pada Khamis, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menyatakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kepadanya bahawa beliau sedia untuk berentap dalam pemilihan parti.
Menurut Khairy, kenyataan itu dikeluarkan Ahmad Zahid ketika beliau bertembung dengannya ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
BACA: 140 Ketua Bahagian UMNO sokong jawatan presiden, timbalan presiden tidak dipertandingkan
“Maknanya beliau bersedia untuk berhadapan dengan sebarang cabaran dalam pemilihan UMNO, maksudnya Presiden sendiri berani.
“Datuk Seri Zahid, saya salute (tabik hormat) kepada beliau, beliau tidak takut. Tadi beliau sebut kepada saya, ready to fight.
“Maknanya kalau ada sebarang usaha untuk menutup demokrasi dalam UMNO dengan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan maka ia bertentangan dengan keberanian Presiden sendiri.
BACA: Pemilihan UMNO: Buka ruang pertandingan, jangan matikan demokrasi - KJ
“Ayuh menjadi lebih berani. Buka ruang demokrasi dalam UMNO, buka ruang semua jawatan untuk dipertandingkan,” katanya menerusi video yang dimuat naik itu.
Astro AWANI pada Rabu melaporkan seramai 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara hari ini menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Ahmad Zahid tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijangka Mei nanti.
Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.
Beliau berkata tumpuan UMNO ketika ini perlu terarah kepada memperkukuh parti daripada pelbagai peringkat untuk berdepan enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.
#Pemilihan UMNO #Zahid Hamidi #Khairy Jamaluddin #PAU2022