PAU2022: Pertandingan jawatan tertinggi parti boleh sebabkan perpecahan UMNO - Tok Mat
Bernama
Januari 11, 2023 00:12 MYT
Januari 11, 2023 00:12 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam usaha parti untuk bangkit semula selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pertandingan bagi jawatan tertinggi parti termasuk presiden pada pemilihan akan datang, sedikit sebanyak boleh menyebabkan perpecahan dalaman.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dalam keadaan UMNO yang disifatkannya sedang 'jatuh' sekarang, adalah lebih wajar untuk jawatan itu tidak dicabar.
"Kalau boleh dalam keadaan kita jatuh terduduk ini, sebaiknya jawatan presiden dan lain-lain itu eloklah menang tanpa bertanding, kerana kalau bertanding sedikit sebanyak ia akan menyebabkan perpecahan," katanya kepada pemberita selepas perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini malam ini.
Bagaimanapun, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, terbuka untuk menerima cabaran daripada mana-mana pihak bagi jawatan timbalan presiden dan mempertahankannya pada pemilihan yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.
"Saya terbuka... (untuk) siapa yang nak bertanding (lawan), saya mempertahankan (jawatan timbalan presiden), saya tiada isu," katanya.
Sementara itu menjawab mengenai jawatankuasa yang diketuai Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bagi meneliti beberapa usaha termasuk kerjasama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Mohamad berkata jawatankuasa itu akan membentangkan hasilnya kepada UMNO sebelum membuat sebarang keputusan.
"Jawatankuasa ini akan berjumpa, teliti pandangan semua pihak, jangan pandang di dalaman sahaja, kumpulkan (pandangan) sama ada baik untuk parti ataupun tidak, kerana kita nak parti bangun semula," katanya.
Ditanya adakah BN akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk PRN itu, Mohamad berkata UMNO belum membuat keputusan dan jawatankuasa berkenaan, belum bersidang.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Mohamad berkata Asyraf Wajdi diberi tanggungjawab sebagai ketua sekretariat oleh presiden UMNO, untuk meneroka 'jalan' terbaik bagi parti dalam menghadapi PRN akan datang melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembulan, Selangor dan Pulau Pinang.
-- BERNAMA