PAU2022: Pemilihan UMNO boleh dibincang dalam mesyuarat MKT Khamis ini - Ahmad Maslan
Fareez Azman
Januari 3, 2023 17:52 MYT
Januari 3, 2023 17:52 MYT
KUALA LUMPUR: Pemilihan UMNO belum dibincangkan buat masa ini, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bagaimanapun ujarnya, perkara itu boleh dibincangkan dalam Mesyuarat Bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis ini.
"Pemilihan UMNO belum dibincangkan. Tentunya boleh dibincangkan pada 5 Januari ini tentang pemilihan.
"Kita ada Mesyuarat Khas MKT pada 12 Januari malam, kebetulan mesyuarat khas itu berlangsung setiap kali PAU selesai... sayap Wanita, Pemuda, Puteri pada malam itu kita ada mesyuarat khas.
"Ia merupakan tradisi sepanjang PAU, iaitu malam sebelum Presiden membuat ucapan dasar, ada mesyuarat khas MKT," katanya dalam sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Menara Dato Onn di sini pada Selasa.
Pada 26 Disember lalu, Ahli Parlimen Pontian itu berkata keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu akan dipertandingkan atau tidak hanya diputuskan ketika Mesyuarat Khas MKT pada 12 Januari sebelum PAU2022 berlangsung.
Mengulas lanjut mengenai mesyuarat Khamis ini, Ahmad berkata, selain pemilihan turut akan diputuskan adalah mengenai jemputan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan ke PAU2022.
"Pada malam ini (Selasa) ada mesyuarat pengurusan akan dipengerusikan Timbalan Presiden UMNO.
"Juga akan membincangkan jemputan kepada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan antaranya. Kita tunggu keputusan 5 Januari," jelasnya lagi.