PAU2022: Kenapa hanya dua jawatan tertinggi tak perlu tanding? - Perwakilan Johor
Hasimi Muhamad
Januari 14, 2023 12:30 MYT
Januari 14, 2023 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Perwakilan Johor menegaskan bahawa dua jawatan tertinggi dalam parti UMNO wajar dipertandingkan pada pemilihan akan datang demi kesuburan sistem demokrasi parti.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad berkata, jika benar UMNO mahukan perpaduan dan kestabilan, kenapa hanya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sahaja yang dicadangkan supaya tidak dipertandingkan.
"Sebab secara demokrasi akar umbi mahukan itu (dipertandingkan), dan bukan dimonopoli atau parti ini bukan mesti sampai bettahun-tahun jadi Presiden untuk kerjasama parti. Itu hasrat semua ahli parti dan pemimpin hendak lah ada perubahan dalam konteks pucuk pimpinan parti.
"Kalau kata Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tak tanding, kenapa tidak jawatan bawah seperti ketua bahagian tak dipertandingkan? Kalau kata itu nak elak perpecahan," katanya selepas membahaskan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Pandak berkata usul tambahan yang dibawa oleh Perwakilan Negeri Sembilan, mencadangkan agar dua jawatan tertinggi dalam parti tidak dipertandingkan juga didakwa tidak sempurna.
Mengikut Fasal, 30, Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan, beliau berkata usul berkenaan tidak boleh diteruskan.
"Sebab jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan ia melibatkan Perlembagaan parti, bukan boleh bawa serentak dengan tujuh usul Perhimpunan Agung UMNO 2022 ini, ia kena asing.
"Usul yang sempurna daripada bahagian dan disahkan sama ada usul ini, usul yang boleh dijawab, dibahas atau sebagainya. Jadi semalam usul dari Negeri Sembilan telah mencadangkan agar usul tambahan, usul ini tak boleh dari segi prosedurnya," katanya lagi.
Pada Sabtu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mengesahkan Perwakilan Negeri Sembilan telah mengemukakan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.
Usul berkenaan turut disokong oleh Perwakilan dari Terengganu, Selangor, Perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.