PAU2022: Kemenangan PN tidak mendapat keberkatan - Pemuda UMNO

Hasimi Muhamad
Januari 12, 2023 12:35 MYT
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diperoleh dengan cara salah dan tidak diredhai Tuhan. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diperoleh dengan cara salah dan tidak diredhai Tuhan.
Ini kerana, kata Asyraf, ia susulan parti tersebut didakwa telah 'mencuri' berbilion wang rakyat melalui projek-projek rundingan terus yang diluluskan dalam tempoh darurat di bawah pentadbiran Kerajaan PN.
Perkara itu, dakwa beliau, diperkukuhkan lagi dengan penahanan suspek oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang terlibat dalam kes penyelewengan RM92.5 bilion pakej rangsangan.
"Ini mengesahkan lagi kesangsian kita selama ini bahawa kemungkinan berbilion-bilion duit rakyat disakau melalui projek-projek rundingan terus yang diluluskan dalam tempoh Darurat Kerajaan PN terdahulu.
"Barangkali, mungkin sebab itu jugalah ada parti yang selama ini bersandiwara dengan mengutip duit syiling untuk memasang bendera, kini boleh berkempen dengan berbelanja mewah sehingga ratusan ringgit dibayar kepada pengundi luar dan mahasiswa!
"Barangkali, mungkin sebab itu juga ada parti yang baru setahun jagung ditubuh, tiba-tiba begitu mewah dalam berkempen sehingga mampu berbelanja jutaan ringgit bagi menyogok pengundi muda dan pengundi kali pertama.
"Namun, jangan sesekali lupa akan aturan Allah SWT. Menang banyak pun belum tentu boleh menjadi kerajaan. Percayalah kepada prinsip keberkatan," katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.
Berucap lanjut, Pemuda UMNO, tegas Asyraf, mendesak agar SPRM dan Peguam Negara membawa segera mereka yang dikaitkan dengan penyelewengan ke muka pengadilan.
"Justeru, Pemuda UMNO menggesa agar pihak SPRM dan Peguam Negara terus memburu dan segera mendakwa mereka yang disyaki terlibat dalam rasuah dan penyelewengan berbilion-bilion wang rakyat di sebalik slogan 'Bersih Stabil' yang dicanang-canangkan.
"Jangan ada lagi pilih kasih! Jangan ada lagi pendakwaan politik terpilih!
"Hingga ramai yang menjadi mangsa penganiayaan, penghinaan dan dimalukan bertahun-tahun lamanya. Ingat!" tegas Asyraf lagi.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan berkata, akan memberi tumpuan pada siasatan dana kerajaan bernilai RM92.5 bilion daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggarkan hampir RM600 bilion.
Ini kerana, menurut SPRM, siasatan mereka mendapati dana RM92.5 bilion itu adalah dana kerajaan di bawah program rangsangan dan pemulihan ekonomi manakala bakinya RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.
#Asyraf Wajdi Dusuki #PRU15 #Kerajaan Perpaduan #PAU2022
;