PAU2022: Jawatan Presiden, Timb Presiden perlu dipertandingkan - Ketua Pemuda UMNO Subang

Israr Khalid
Januari 11, 2023 04:00 MYT
ALFIE: UMNO perlu raikan demokrasi, pertandingkan semua jawatan.
KUALA LUMPUR: UMNO perlu menyuburkan demokrasi sekiranya parti itu benar-benar mahu melaksanakan pembaharuan selepas episod terburuk dalam arena politik tanah air.
Maka Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Alfie Zainal merasakan setiap peringkat jawatan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden perlu dipertandingkan dalam pemilihan parti nanti.
Katanya, UMNO perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka benar-benar mahu berubah dengan tidak takut berdepan pertukaran pucuk pimpinan.
“Saya seorang pendukung demokrasi dan pada saya segala organisasi haruslah melalui proses pemilihan yang telus kerana dalam demokrasi, pemenang itu adalah suara ahli-ahli UMNO dan undi yang tak diberi kepada Presiden UMNO juga merupakan suara.
“Jadi UMNO perlu tunjukkan bahawa kita meraikan demokrasi dan dengan demokrasi kita akan membentuk parti yang kuat, dan parti yang kuat itu akan menawarkan satu bentuk alternatif kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Oleh hal demikian, beliau kecewa dengan suara beberapa pemimpin dan ahli UMNO yang memberi cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan dalam Perhimpunan Agong UMNO kali ini.
PAU2022: Jawatan Presiden, Timb. Presiden tak wajar tak dipertandingkan - Ketua Pemuda UMNO Subang
#Agenda Awani #PAU2022 #UMNO
;