PAU2022: Hentikan 'Langkah Dewan Merdeka'! Khairy dakwa wujud pengundi hantu
Hasimi Muhamad
Januari 14, 2023 14:16 MYT
Januari 14, 2023 14:16 MYT
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) panas selepas wujud dakwaan bahawa ada cubaan untuk membawa masuk 'pengundi hantu' bagi meluluskan usul tambahan untuk tidak membenarkan dua jawatan tertinggi dalam parti dipertandingkan.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam satu rakaman video berkata, beliau difahamkan tag kedudukan perwakilan yang sebelum ini diletakkan di kerusi Dewan Merdeka telahpun ditanggalkan.
Keadaan itu, dakwa Khairy berkemungkinan besar bagi membawa masuk pengundi luar bagi meluluskan usul kelapan yang akan berlangsung pada petang ini.
"Jadi petang ini akan ada undian untuk usul, dan saya difahamkan akan dilulus.
"Malah, beberapa tag di kerusi dalam dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan tanggal supaya perwakilan-perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak dan lulus usul supaya nombor satu dan dua ini tidak dipertandingkan.
"Saya merayu kepada perwakilan yang ada di dalam dewan kita jangan biarkan usul ini lulus terutamanya usul tiada pertandingan bagi jawatan nombor satu dan dua parti. Kita bagi perwakilan di bahagian kebebasan untuk memilih, pucuk pimpinan parti yang akan datang," katanya dalam video yang dimuat naik di laman TikToknya pada Sabtu.
Semalam, Perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin telah mengemukakan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi melibatkan Presiden UMNO dan Timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Usul berkenaan telah mendapat sokongan daripada Perwakilan Terengganu, Selangor, Perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan 'Langkah Dewan Merdeka' itu perlu dihentikan oleh para perwakilan.
"Jadi sangat penting perwakilan dalam UMNO jangan melakukan Langkah Dewan Merdeka untuk bunuh demokrasi dan menidakkan suara perwakilan di bahagian akar umbi dalam menentukan masa depan parti kita... untuk memilih apa boleh dan siapa layak menerajui parti kita," tambah Khairy.
Katanya lagi, naratif bahawa bahawa pemilihan akan membawa kepada perpecahan adalah tidak benar sama sekali.
"Saya berjanji pemilihan tidak akan membawa kepada perpecahan. Siapa yang menang dapat mandat daripada parti, dan siapa yang menang kita sokong dan ketepikan segala perbezaan selepas selesai pemilihan nanti.
"Itu budaya kita dalam UMNO. Pemilihan memang biasa, pertandingan memang biasa dan apabila sudah menang itu, kita move on sebab yang menang akan dapat mandat dan merapatkan saf balik," ujar bekas Menteri Kesihatan itu.
Khairy antara nama yang disebut-sebut akan mencabar jawatan tertinggi dalam parti itu pada pemilihan akan datang.
Pada Pemilihan 2018, Khairy gagal memenangi jawatan Presiden UMNO selepas tewas kepada yang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Turut kecundang dalam saingan tersebut ialah bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.