PAU2022: Hapus politik wang, UMNO hanya untuk mereka yang bersih, kasih kepada bangsa
Ridauddin Daud
Januari 11, 2023 22:14 MYT
Januari 11, 2023 22:14 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan parti itu perlu beriltizam untuk memerangi politik wang dan mematikannya terus.
Tegasnya, politik wang telah menjerumuskan UMNO ke tahap sekarang dan ia bukan sahaja menyebabkan parti itu tewas tetapi juga menjadikannya semakin lemah dan tiada ketahanan.
“Kepada semua ahli UMNO, sedarlah, politik wang adalah jelik, jijik dan keji. Keji pada agama, keji pada adat, keji pada amalan.
“UMNO hanya untuk mereka yang bersih, berjuang, dan mengasihi bangsanya. Kita mesti membunuh politik wang, sebelum politik wang membunuh UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Persidangan Sayap Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Rabu.
Tambah beliau, UMNO juga mesti melupakan nafsunya untuk berkuasa dengan sebesar-besar kekuasaan.
“UMNO hanya ada satu sahaja pilihan, iaitu membangunkan semula keyakinan orang Melayu terhadapnya, dan menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu.
“Kerana itu, UMNO menyertai kerajaan dengan telus, mengikut lunas lunas perlembagaan.
“Iltizam UMNO ialah, untuk menyuburkan demokrasi Malaysia, dengan mengukuhkan sistem kerajaan, yang inklusif dan politik berprinsip. Rakyat Malaysia telah memilih,” ujarnya.
Tegasnya lagi, UMNO yang tewas sebelum ini akan menjadikan idea sebagai modal politiknya, bukan lagi wang dan kuasa.
“UMMO akan menggunakan kecerdikan, pemikiran unggul, idea terbaik, dan fikrah yang progresif, sebagai modal politiknya. Ia mesti dibangunkan semula, dengan pemikiran terbaik. Pendekatan paling kreatif. Idea paling luar biasa dan mempesonakan.
“UMNO akan menjadi ‘a learning political party’. Yang akan menyerap, keunggulan intelektual dan kecerdasan dari semua pendukungnya.
“Baik dari ahli parti mahupun dari orang Melayu dan bukan Melayu, yang bersedia untuk menyumbang kepada tanah air,” ujarnya.
Tambahnya, perjuangan politik pada masa kini adalah berkaitan percaturan dasar terbaik, program paling memanfaatkan, kepimpinan paling kompeten, dan institusi paling moden dan termaju.
“Gerakan UMNO pasca PRU15, akan berorientasikan data, kajian, ilmu baru dan pendekatan termaju.
“Lebih penting, menjadikan idea sebagai modal politik, UMNO harus membenarkan berlakunya, perubahan generasi yang sangat diperlukan oleh parti ini,” katanya.
Jelasnya lagi, UMNO tidak akan menjadikan senioriti sebagai aset mana-mana pemimpin UMNO malah akan membenarkan parti untuk benar-benar digerakkan secara bermakna oleh generasi semasa.