PAU2022: Demokrasi UMNO mati, Anwar perlu campur tangan nasihat Zahid - Penganalisis politik
Astro Awani
Januari 14, 2023 23:58 MYT
Januari 14, 2023 23:58 MYT
KUALA LUMPUR : Keputusan UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden memberi maksud demokrasi parti itu sudah mati dan sekali gus bakal memberi kesan langsung kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Demikian ujar Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakub.
Ujarnya, keputusan yang dibuat perlu ada keinginan politik bagi membuka ruang demokrasi dalam parti, atau jika tidak, UMNO akan dilihat menutup ruang berkenaan semata-mata untuk menjaga kepentingan pemimpin berbanding parti.
Susulan itu, katanya Anwar perlu campur tangan terhadap keputusan itu dengan menasihati Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tanpa niat mencampuri urusan parti, namun atas kapasiti menjaga imej Perdana Menteri sebagai pendukung demokrasi tegar menerusi agenda reformasi.
"Bagi saya sedikit sebanyak boleh mencalarkan imej Anwar kerana UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan sekarang, maka apa sahaja berkaitan dengan komponen gabungan juga akan memberi kesan kepada kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.
"Ini kerana tindakan UMNO ini akan memberi kesan langsung terhadap imej Anwar. Apa sahaja melibatkan prinsip parti gabungan dalam kerajaan akan memberi impak kepada Perdana Menteri dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), maka semua parti politik kerajaan perlu cermat menguruskan parti masing-masing.
"Parti-parti komponen Kerajaan Persekutuan akan berhadapan PRN di beberapa buah negeri. Jika isu melibatkan UMNO ini tidak ditangani dengan baik, ini akan memberi kesan negatif terhadap keputusan PRN akan datang kepada Pakatan Harapan dan BN itu sendiri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Usul tambahan dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin agar tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden diluluskan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, sebelum sesi penggulungan selaras dengan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.
Perwakilan itu pada Jumaat didakwa di'boo' perwakilan lain yang hadir di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur ketika mencadangkan usul berkenaan.
Cadangan dua jawatan tertinggi UMNO itu dipertandingkan menjadi antara topik hangat kebelakangan ini dengan beberapa pimpinan termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin serta beberapa nama besar lain menyatakan minat untuk bertanding sekiranya jawatan itu dipertandingkan.
Malah semasa Ucapan Dasar Presiden pada Jumaat, Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan sama ada dua jawatan tertinggi parti itu perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan Mei depan.