PAU2022: Dakwaan KJ tidak benar - Isham Jalil

Irfan Faruqi
Januari 14, 2023 11:47 MYT
Isham Jalil menafikan dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO bahawa terdapat perwakilan diimport masuk ke dewan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, bahawa berlakunya perwakilan yang diimport semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) adalah tidak benar.
Demikian reaksi Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Proses pengundian bagi usul tambahan semasa PAU2022 hari ini panas apabila timbul dakwaan ada cubaan memanipulasi undi tersebut.
[TERKINI] PAU2022 | Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan
BACA SEMUA BERHUBUNG PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2022
"KJ (Khairy) pastinya tahu, setiap perwakilan di dalam dewan merdeka yang mewakili bahagian masing-masing kenal sesama sendiri yang duduk di barisan kerusi mereka atau siapa yang duduk di sebelah mereka.
"Jika ada orang yang mereka tidak kenal atau tidak sepatutnya berada di situ, mereka akan tahu dan pemeriksa-pemeriksa pas juga akan tahu," katanya.
Isham, dalam hantaran yang sama juga menyarankan agar Khairy datang sendiri ke Dewan Merdeka dan tunjukkan perwakilan import seperti yang didakwanya.
"Jika tidak, saya harap KJ (Khairy) dapat meminta maaf kepada semua perwakilan-perwakilan UMNO di sini kerana telah menuduh mereka diimport.
"Dan perlu minta maaf kepada pemeriksa-pemeriksa pas dan skuad sabil Pemuda kerana telah menfitnah mereka tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka," tambahnya lagi.
#PAU2022 #UMNO #Khairy Jamaluddin #perwakilan import