PAU2022: Boleh rujuk RoS teliti semula kelulusan usul Presiden, Timbalan tak dipertanding - Ismail Sabri
Hasimi Muhamad
Januari 14, 2023 21:35 MYT
Januari 14, 2023 21:35 MYT
KUALA LUMPUR: Mana-mana ahli atau pemimpin UMNO boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi meneliti semula keputusan meluluskan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana terdapat dua pandangan berbeza berhubung kelulusan berkenaan.
Jelas bekas Perdana Menteri itu, ada segelintir mengatakan ia dibolehkan kerana diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), sebagai badan tertinggi dalam parti.
Begitupun, katanya terdapat satu lagi pandangan bahawa jawatan seperti Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu dipilih setiap tiga tahun.
"Apabila disebut hendaklah, ia shall dalam Bahasa Inggeris, atau bahasa kampung - mestilah. Kalau may, ia ada pilihan. Tetapi oleh kerana shall, ia sudah tidak ada pilihan.
"Walaupun PAU membuat keputusan tetapi Perlembagaan sudah meletakkan perkara berkenaan hendaklah dipilih di peringkat bahagian, maka (sepatutnya) PAU tidak boleh membuat keputusan bertentangan dengan perlembagaan.
"(Justeru) ada dua pandangan berbeza, jadi kita tidak tahulah (mana yang sepatutnya diikuti). RoS boleh dirujuk untuk mendapatkan pandangan sama ada ia boleh atau tidak,” katanya pada sidang media di Laman Media PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Jelas beliau lagi, usul tambahan yang dikemukakan perwakilan perlu diberikan notis sekurang-kurangnya 14 hari.
“Jadi ada yang berpandangan juga (usul) tidak boleh ditambah seperti itu kerana dari segi notis usul mesti dibuat.
“Perlu ada notis dalam Perkara Fasal 10.1. Usul daripada bahagian atau usul daripada negeri mesti 14 hari, manakala usul daripada Majlis Tertinggi pula tujuh hari.
“(Usul tambahan) itu dibawa semalam. Walaupun ada pindaan tetapi pindaan menyatakan usul yang sama. Contohnya, kalau nak perbetulkan dari segi ayat tetapi tidak boleh ubah perkara baharu,” ujarnya lagi.
Terdahulu, PAU meluluskan usul tambahan agar dia jawatan tertinggi dalam UMNO tidak dicabar.
Usul yang dikemukakan Perwakilan Negeri Sembilan itu mendapat persetujuan melebihi 90 peratus perwakilan.
Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, usul tambahan itu tidak melanggar mana-mana peraturan atau Perlembagaan UMNO.