PAU2022: Ada usul tambahan jawatan Presiden UMNO, Timbalan tak dipertanding - Isham

Hasimi Muhamad
Januari 13, 2023 19:56 MYT
Isham pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Satu usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam Pemilihan UMNO akan datang telah dikemukakan.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil yang mengesahkan perkara itu berkata, usul berkenaan dicadangkan oleh perwakilan dari Negeri Sembilan, dan disokong oleh Perwakilan Terengganu, Selangor, Perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan setakat ini parti tidak meminda sebarang Perlembagaan untuk menghalang dua jawatan tertinggi itu agar tidak dipertandingkan.
"Tetapi pada masa yang sama kita tidak halang perwakilan atau akar umbi yang bawa usul.
"Jadi memang ada negeri yang bawa usul. Usul itu telah dibawa oleh Perwakilan Negeri Sembilan, dan telah disokong oleh Perwakilan-perwakilan dari Terengganu, Selangor, Perwakilan Wanita, dan Pulau Pinang.
"Perwakilan dari negeri-negeri juga telah menyokong usul itu, dan sudah tentu belum habis lagi.
"Seperti saya katakan sebelum ini, kalau sesiapa nak bawa usul, ini bergantung kepada mereka dan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) juga telah memberi kenyataan sebelum ini bahawa, kita tidak membuat keputusan kecuali di Majlis Tertinggi.
"Tetapi beliau serahkan kepada perwakilan, dan hari ini ada yang bawa usul dan kita serahkan kepada perwakilan, dan kita masih bahas usul ini," katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) pada Jumaat.
Terdahulu, Ahmad Zahid ketika berucap pada Ucapan Dasar Presiden menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukan sama ada jawatan utama Presiden dan Timbalan Presiden parti perlu dipertandingkan atau sebaliknya.
Ia susulan terdapat pihak yang mahu kedua-dua jawatan itu dipertandingkan, dengan beberapa nama disebut-sebut akan mencabar dua jawatan berkenaan.
Isham menambah, usul yang dibawa oleh perwakilan pada PAU bukan sesuatu yang asing, dan ia akan diputuskan sama ada mendapat persetujuan atau sebaliknya.
"Seperti mana dulu kita pernah membawa usul untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya. Jadi kalau esok selepas semua wakil mencapai persetujuan, maka itulah persetujuannya daripada perwakilan-perwakilan dan akar umbi UMNO.
"Jadi selepas itu maka bergantung kepada macam mana (keputusan) esok. Tetapi saya nak fokus, biar perwakilan bahas dulu. Jadi apabila mereka bahas, dan negeri-negeri menyokong tetapi kita ada usul lain juga," ujarnya lagi.
#Pemilihan UMNO #PAU2022 #Zahid Hamidi #Isham Jalil
;