PAU2021: UMNO tidak desak bubar Parlimen, cuma berikan saranan - Ahmad Zahid
Ridauddin Daud
Mac 19, 2022 20:17 MYT
Mac 19, 2022 20:17 MYT
KUALA LUMPUR: Lima pemimpin tertinggi atau ‘Top 5’ UMNO selepas ini akan berjumpa sekurang-kurangnya setiap sebulan setengah untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan parti, rakyat bahkan juga berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya isu rakyat dan parti timbul dalam sela masa tersebut, mereka akan melakukan pertemuan dengan lebih kerap.
Jelasnya, hasil pertemuan tidak didedahkan kepada umum namun ia merupakan petunjuk bahawa wujudnya keakraban dan musyawarah melibatkan kepimpinan tertinggi parti tersebut.
“Bagi PRU15, kami memahami peratusan yang ada terutama dalam Perlembagaan dan keputusan harus diambil Kabinet yang mana keputusan Kabinet akan dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Kami tidak tekan Perdana Menteri dalam perkara ini, apatah lagi kita hormati keputusan Kabinet. Seperti kita tahu, Kabinet dianggotai pelbagai parti.
“Maka tentunya dengan kebijaksanaan diambil Perdana Menteri, saya tak nampak ada masalah besar jika secara konsensus, kita berpendapat Kabinet akan ambil ketetapan sebagaimana akan disampaikan Perdana Menteri apabila mempengerusikan Kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Ucapan Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, desakan untuk membubarkan Parlimen tidak datang daripada UMNO sebaliknya parti itu hanya memberikan saranan selepas mengambil kira beberapa faktor.
“Kami rasakan kestabilan politik harus diwujudkan dalam negara ini. Oleh kerana parti harus jadi tulang belakang kepada kerajaan, maka parti itu harus dominan.
“Dominan ini yang kita tawarkan dalam PRN Melaka dan Johor. Walaupun dominan dalam PRN tapi ini tak boleh dijadikan penanda aras dalam PRU sekiranya ia diadakan nanti.
“Namun kita merasakan prinsip-prinsip yang ada dalam UMNO dengan kesepakatan yang ada dan perjalanan jentera sedia ada, kami yakin rakyat mahu berikan sokongan kepada BN,” ujarnya.
Tambah beliau, meskipun pembangkang dilihat seolah-olah mahu mahu membentuk gabungan baharu namun menurut Ahmad Zahid, mereka mempunyai rekod prestasi yang buruk sebelum ini.