PAU2021: UMNO beri bayangan MoU dengan pembangkang tidak akan disambung selepas Julai
Ridauddin Daud
Mac 19, 2022 20:28 MYT
Mac 19, 2022 20:28 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO memberi bayangan bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan kerajaan dan parti pembangkang tidak akan disambung selepas ia tamat pada Julai nanti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika ditanya sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan sebelum atau selepas Julai 2022.
Beliau berpandangan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menggunakan kebijaksanaannya untuk membuat keputusan bersama pembangkang agar menghormati MoU itu namun tidak menyambungnya.
“Kita berasakan bahawa MoU yang telah ditandangani kerajaan dan pembangkang yang telah menetapkan tarikh tamatnya pada Julai.
“Maknanya pilihan raya mahu diadakan sebelum dari tarikh itu atau selepas itu, tapi tentunya MoU itu dihormati.
“Pertimbangan politik atau suasana politik akan jadi asas untuk Perdana Menteri tentukan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas selesai Ucapan Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) di sini pada Sabtu.
Ketika ditanya perbincangan mengenai jawatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata apabila tiba masanya, sudah pasti ia akan dibincangkan dan ia termasuklah isu ‘poster boy’ parti tersebut.
“Di Johor, poster boy kita adalah Hasni (Datuk Seri Hasni Mohammad) dan anda tahu bagaimana keputusannya.
“Pilihan raya akan datang, Perdana Menteri adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tapi saya tak rasa poster boy adalah perkara yang perlu kita promosikan sekarang atau nanti kerana itu adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong (keputusan PRU15) akan tentukan.
“Tapi saya berpendapat isu ini sudah pasti akan dibincangkan antara kami (pimpinan tertinggi parti),” ujarnya.