PAU2021: UMNO akan diganti dengan pemimpin baharu - Zahid
Fareez Azman
Mac 18, 2022 13:07 MYT
Mac 18, 2022 13:07 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan parti itu akan diterajui pemimpin pelapis baharu bagi meneruskan perjuangan demi rakyat.
Jelasnya, keputusan UMNO menampilkan 70 peratus calon muka baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor membuahkan hasil dan diterima rakyat.
"Kita sudah kemukakan lebih 70 peratus calon-calon muka baharu, termasuk daripada kalangan Wanita, Pemuda dan Puteri diturunkan di PRN, Sabah, Melaka dan Johor.
"Hasilnya cukup membanggakan. Cuma semalam usul Wanita mahukan di isi 30 peratus (barisan saf kepimpinan), Pemuda UMNO juga 30 peratus dan Puteri UMNO juga 30 peratus," jelasnya dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.
Jelasnya, harapan disandarkan kepada pemimpin baharu untuk terus memastikan masa depan UMNO terus dicorak.
"Kita menaruh harapan besar kepada pemimpin pelapis yang bakal mencorakkan masa depan parti. Pemimpin yang sezaman dengan saya, Datuk Seri Mohamad Hassan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak akan menongkat langit.
"Mereka akan gantikan kita, kita harus bagi peluang mereka menggantikan kita," katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai Undi18, jelas Ahmad Zahid, parti itu perlu menuruti arus perubahan fikiran golongan muda.
Tambahnya, pelaksanaan Undi18 adalah manifestasi perubahan landskap politik negara.
"Pelaksanaan Undi 18 adalah manifestasi besar perubahan dalam landskap politik negara, yang mana ia menuntut usaha keras UMNO untuk memenangi hati mereka, dan menawarkan solusi kepada permasalahan dan cabaran yang sedang mereka hadapi," katanya lagi.