PAU2021: 'Top 5' UMNO akan duduk, bincang isu pembubaran Parlimen - Tok Mat
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 19, 2022 19:56 MYT
Mac 19, 2022 19:56 MYT
KUALA LUMPUR: Isu pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilangsungkan akan dibincangkan UMNO dengan mengambil kira semua aspek.
Menurut Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Mohamad Hasan, perkara itu akan dibincangkan bersama lima pemimpin tertinggi UMNO bagi mencari jalan terbaik sebelum memutuskannya.
“Kita berlima kita duduk, Top 5 duduk kita bincang bila pula kita nak adakan pilihan raya dengan rasa senang hati di kalangan rakyat Malaysia.
"Jangan kita tunggu lama-lama... biar orang rasa seronok dulu, dua, tiga bulan lepas tu kita panggil lah.” katanya pada sesi Ucapan Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) petang Sabtu.
Bagaimanapun tambah beliau, perjanjian yang telah pun dimeterai bersama dengan parti lain ketika membentuk kerajaan sehingga Julai ini akan terus dikekalkan.
Katanya, perbincangan mengenai perkara itu akan hanya dilaksanakan selepas tempoh tersebut.
Jelasnya lagi, tiada masalah yang timbul di peringkat kepimpinan parti itu sebelum ini dalam membincangkan pelbagai isu termasuk hasrat untuk membubarkan Parlimen.
Namun, katanya kebanyakan hasil daripada perbincangan yang diadakan sebelum ini tidak didedahkan kepada umum.
“Yang kami runding itu kami runding dalam gelap. Jadi, kali ini nampaknya Datuk Seri Presiden, setiap kali kita berunding, setiap kali kita berjumpa, keluarkan dalam Facebook supaya orang tahu kita berlima ini sebenarnya rapat dan bersama-sama mengurus parti,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar semua ahli UMNO terus mengekalkan keharmonian tanpa ada sebarang perpecahan dalam parti.
Tegasnya, apa yang penting adalah kemenangan parti UMNO pada setiap pertembungan pilihan raya yang akan dilalui selepas ini.
UMNO katanya perlu mengambil iktibar selepas pelbagai hinaan yang diterima selama 22 bulan ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini sedikit masa lalu.
Justeru, katanya, pengalaman itu tidak harus diulangi lagi dengan mencipta kejayaan dalam pilihan raya yang akan diharungi nanti