PAU2021: Tiada tekanan bubar Parlimen, Khairy anggap itu lambang manifestasi adab politik tinggi

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 18, 2022 12:50 MYT
Kenyataan Presiden UMNO itu, menurut Khairy, mampu menyatukan semua pihak dalam parti terbesar orang Melayu itu. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Ucapan amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan memberi tekanan untuk kerajaan membubarkan Parlimen adalah sesuatu yang amat melegakan.
Menurut Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, kenyataan Presiden UMNO itu mampu menyatukan semua pihak dalam parti terbesar orang Melayu itu.
“Sebelum ini dengan ucapan-ucapan daripada perwakilan-perwakilan sayap, Pemuda, Wanita dan Puteri, seolah-olah isu yang akan dibangkitkan hari ini hanya isu PRU yang akan datang. Namun demikian saya melihat Yang Berhormat Presiden sangat tertib dan memahami Perlembagaan Persekutuan.
“Kuasa bukan hanya Yang di-Pertuan Agong tetapi juga Jemaah Menteri dalam menentukan bila waktu Parlimen dibubar. Saya melihat ini adalah manifestasi adab politik yang sangat tinggi daripada presiden,” jelas bekas Ketua Pemuda UMNO itu.
Dalam masa yang sama juga, beliau tidak menafikan ketetapan masa yang ada ketika ini seakan-akan memberi kelebihan kepada parti UMNO jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan tidak lama lagi.
Tambahnya, apa yang penting dalam ucapan tersebut adalah isyarat yang dihantar oleh Ahmad Zahid bahawa tiada lagi isu kabilah dalam UMNO itu sendiri, yang membabitkan pimpinan parti dan juga ahli UMNO dalam kerajaan.
Menyentuh mengenai pemilihan parti pula, Khairy melihat bahawa keperluan itu bergantung keharmonian yang mampu dikecapi dalam parti ketika ini, untuk menentukan sama ada ia sesuai dilakukan atau sebaliknya.
“Yang kita nak capai dalam PAU kali ini adalah keharmonian. Kalau keharmonian itu datangnya melalui satu usaha untuk menangguh pemilihan parti, saya rasa boleh dipertimbangkan. Tetapi kalau harmoni itu dapat dikekalkan di samping kita melaksanakan pemilihan parti untuk kita usaha menyegarkan kepimpinan parti dan tidak menjejaskan keharmonian, saya rasa itupun tiada masalah," jelasnya lagi.
Justeru kata Khairy, perkara tersebut perlu difikirkan secara mendalam sebelum memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti atau tidak.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa pemilihan parti perlu diadakan sebelum Disember ini memandangkan ia adalah had maksimum yang telah ditetapkan.
#PAU 2021 #Khairy Jamaluddin #Ahmad Zahid Hamidi #bubar parlimen
;