PAU2021: 'Saya tidak pernah bergaduh dengan Zahid' - Annuar Musa
Rahimah Abdullah
Mac 18, 2022 15:49 MYT
Mac 18, 2022 15:49 MYT
KUALA LUMPUR : Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menafikan bermasam muka atau bergaduh dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, kritikan terhadap Presiden UMNO itu sebelum ini hanya sekadar pendapat daripadanya yang lebih suka berterus-terang dalam perkara melibatkan parti.
"(Semalam) Saya bersama dengan Perdana Menteri menyertai majlis timbalan-timbalan presiden .Kemudian, saya diajak duduk semeja dengan Perdana Menteri dan Presiden. Kemudian apabila Presiden bangun berucap, dia cakap saya sudah lama tidak duduk semeja dengan Tan Sri Annuar Musa.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Persatuan Timbalan-Timbalan kerana merapatkan kami berdua. Ucapan begitu menyejukkan hati. Sebab kita semua adalah manusia, tambah pula saya tidak pernah bergaduh dengan Zahid.
"Kalau beri pendapat saya jenis yang berterus terang. Cuma kalau dia buat jajaran baharu, dia berunding dengan Anwar saya tidak setuju," katanya semasa wawancara program Agenda AWANI, pada Jumaat.
Malah katanya, sehingga sekarang, beliau masih berpegang kepada prinsip UMNO iaitu mesti memimpin penyatuan orang Melayu.
"Saya berpendapat, politik Malaysia sekarang tidak boleh pergi sendiri, melainkan untuk Pilhan Raya Umum (PRU) kita perlu mencari rakan strategik. Pada saya, kukuhkan permuafakatan orang Melayu dan Islam.
"Buat apa lagi kalau bukan untuk agama dan bangsa. Parti ini kita adakan. Namun sekurangnya dasar tidak ada masalah, sebab kita mempunyai aspirasi bersama.
"Namun, apabila saya mengutara pendapat saya, ada orang kata saya ini pro-Bersatu, bila nak lompat parti, saya disindir oleh budak-budak yang ada dalam UMNO tak sampai lima tahun. Tetapi, tidak mengapalah, politik ini memang sebegitu,"ujarnya.