PAU2021: 'Saya orang parti, darah saya darah UMNO' - Ismail Sabri
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 19, 2022 17:39 MYT
Mac 19, 2022 17:39 MYT
KUALA LUMPUR: "Bertenggek di sena burung kenari, Nampak mega di tepian merbah, Berdiri di sini Ismail Sabri, Pegangan utuh tidak goyah, tidak berubah.."
Pantun empat kerat yang dilontarkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada perenggan awal itu memberi gambaran taat setianya kepada parti keramat orang Melayu itu ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 petang tadi.
Malah, jelas beliau yang juga Perdana Menteri, kesetiaannya terhadap parti itu tidak pernah digugat oleh apa sahaja cabaran yang perlu ditempuhinya ketika ini.
“Suka saya tegaskan, saya orang parti! Darah saya darah UMNO! Perjuangan saya adalah untuk UMNO.” Jelasnya.
Katanya, sejak BN kembali memimpin kerajaan, sudah banyak kejayaan yang dicapai.
Malah menurut beliau, semua perkara yang diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Ogos 2021, telah dilaksanakan dengan dukungan rakan-rakan parti dalam kabinetnya ketika ini.
Jelasya lagi, ia termasuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti sebagai mana titah saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu sebelum ini.
“Titah ini kita junjung ... Inilah UMNO, terus menjaga dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu. Kedua, memberi fokus kepada usaha menangani COVID-19 dan vaksinasi. Kita telah berjaya mencapai imuniti kelompok lebih 98.5 peratus dengan dua dos vaksin lengkap.
“Manakala proses vaksinasi dos penggalak dan PICKids sedang rancak dilaksanakan. Tiada paksaan untuk menerima dos penggalak kepada golongan dewasa dan kanak-kanak tetapi kita galakkan mengambilnya untuk melindungi Keluarga Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan termasuk bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik turut dilaksanakan dengan jayanya.
Malah, keadilan yang perlu dijulang tidak pernah dilupakan sepertimana yang diimpikan oleh UMNO dalam pentadbiranya ketika ini.
“Pertama, jawatankuasa khas telah pun ditubuhkan pada Oktober 2021 bagi menyiasat pendedahan buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas. Pasukan Petugas Khas (PPK) sedang mengambil tindakan termasuk memanggil pihak yang terlibat.
“Laporan interim akan dibentangkan pada bulan depan. Saya janji jika ada penyalahgunaan kuasa, konspirasi terpilih, seperti yang didakwa, kita akan ambil tindakan. Kedua, kita telah tubuhkan RCI Tabung Haji. Kerajaan tidak akan sembunyikan apa-apa dan siasatan telah bermula sejak Januari,” tegasnya.
Tambahnya, kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim juga sedang disiasat secara menyeluruh dan telus serta diberikan pembelaan sewajarnya.
Menurutnya, jawatankuasa khas siasatan telah membentangkan laporan interim pada 15 Mac 2022.
"Walaupun siasatan masih berjalan tetapi kerajaan telah pun membayar ‘ex-gratia’ berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga arwah pada 29 November 2021.
“Inilah bukti kesungguhan UMNO dalam membela nasib rakyat,“ katanya lagi.