PAU2021: Mulakan penjernihan budaya politik, tanam rasa jijik terhadap rasuah - Asyraf Wajdi
Ridauddin Daud
Mac 17, 2022 15:09 MYT
Mac 17, 2022 15:09 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO perlu segera memulakan penjernihan budaya politik dengan menanam rasa benci dan jelik kepada sebarang bentuk korupsi, rasuah dan hipokrasi.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, elemen negatif tersebut berkemampuan untuk mencairkan integriti dan seterusnya meruntuhkan akhlak manusia.
Tegas beliau, kerajaan yang dibentuk tanpa integriti dan berkiblatkan kerakusan kuasa hanya akan mewujudkan huru-hara dan kesengsaraan kepada rakyat.
“Kita mesti sedar bahawa landskap politik sudah berubah. Tiada lagi nostalgia tentang jasa-jasa kita membangunkan negara yang boleh mempengaruhi undi generasi muda.
“Kita mesti faham jangkaan dan harapan rakyat semakin menggunung tinggi. Mereka mengharapkan kita kembali, generasi baharu, Undi18 mahukan integriti sebagai pertimbangan mereka dalam memilih pemimpin.
“Mereka mahu wajah baharu, mereka hendakkan pembaharuan imej secara menyeluruh supaya mereka boleh meyakini, inilah parti yang mereka boleh sandarkan harpan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Khamis.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan Pemuda UMNO tidak akan sesekali membenarkan parti itu terus dipersenda, dicemuh dan dihina.
“Kita adalah UMNO, kita punya maruah dan harga diri, kita tidak hidup dengan belas ihsan orang lain.
“Kita tidak bangun dengan memaut tongkat orang lain tapi kita bangkit dengan kekuatan kita sendiri. Kita bangun menanam semula akar pemerintahan negara dengan acuan sendiri.
“Kita berdiri dengan prinsip pembelaan agama, bangsa dan tanah air yang kita cintai. Inilah UMNO, inilah UMNO, inilah UMNO,” katanya seraya disambut sorakan perwakilan yang hadir ke persidangan tersebut.