PAU2021: Lima garis utama UMNO jadi pelengkap 'new deal' kepada rakyat - Shahril
Fareez Azman
Mac 18, 2022 16:21 MYT
Mac 18, 2022 16:21 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menegaskan, lima garis utama yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa menyampaikan Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) menjadi pelengkap bagi parti itu untuk memberi tawaran kepada rakyat.
Menurut beliau, garis utama yang meliputi ekonomi, pendidikan serta agenda reform rakyat itu sekali gus menjadi 'new deal' buat UMNO.
"Tahniah Datuk Seri Presiden Zahid Hamidi atas Ucapan Dasar yang menggariskan beberapa perkara yang perlu dilengkapkan ke arah persediaan menghadapi PRU (Pilihan Raya Umum) dan meraih mandat rakyat.
"Ke arah itu, Presiden menegaskan UMNO perlu mengemudi pembaharuan. Seperti yang dibahaskan oleh ramai perwakilan semalam, kita perlu tawarkan ‘new deal’ kepada pengundi.
"Lima daya yang diumumkan oleh Datuk Seri Presiden akan menjadi garis panduan untuk kita melengkapkan tawaran," jelas Shahril dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Dalam pada itu, tambah beliau, mesej keharmonian yang dibawa Presiden UMNO dalam mengajak semua pemimpin bersatu sebagai sebuah keluarga besar juga dapat memperkuatkan parti serta kerajaan.
"Datuk Seri Presiden juga mengajak semua dalam parti untuk membulatkan tekad, mengenepikan segala sengketa dan bersatu hati dalam menghadapi lawan kita. Tiada kabilah, kluster atau puak. Yang ada hanyalah keluarga besar UMNO.
"Dalam ucapan tadi, jelas mesej keharmonian yang dibawa oleh Presiden. Semoga intipati Ucapan Dasar tadi menjadi pembuka tirai yang baik kepada PAU induk ini dan segala perbahasan dari perwakilan menjadi penguat semangat demi perjuangan agama, bangsa dan Malaysia tercinta,"jelasnya lagi.
Terdahulu, Ahmad Zahid, dalam Ucapan Dasar turut berikar bahawa UMNO akan terus memberikan dokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Kata Ahmad Zahid, beliau dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan akan terus menjaga parti keramat itu manakala Ismail Sabri terus menjaga kerajaan bagi membolehkan UMNO dan kerajaan seiring sejalan.