PAU2021: Ismail Sabri perlu diangkat sebagai 'poster boy' BN untuk PRU15 - Ketua Puteri UMNO Bera

Ridauddin Daud
Mac 17, 2022 18:18 MYT
Ismail Sabri beramah mesra dengan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Khamis. - Gambar Facebook Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR: Ketua Puteri UMNO Bera, Salmiah Ab Rahman mencadangkan Barisan Nasional (BN) mengangkat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang.
Menurut beliau, faktor ‘poster boy’ adalah penting dalam membantu kemenangan parti terutamanya dalam PRU15 kelak.
Jelasnya, cadangan itu bukanlah untuk mengetepikan kepimpinan lebih atas namun menurutnya, takdir telah meletakkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Terimalah takdir ini dan berlapang dada demi perjuangan parti.
“Anak penoreh getah ini telah menunjukkan kebolehan dan kemampuan memimpin negara dalam tempoh beberapa bulan ini sehingga mendekati hati dan sanubari rakyat dengan kasih sayang Keluarga Malaysia.
“Sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah membuat pelbagai perubahan terutama dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat bawahan.
“Alangkah baiknya, jika kita mengangkat Datuk Seri Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya semasa membahaskan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) pada Khamis.
PERKEMBANGAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021
Tambah beliau, kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor baru-baru ini mengukukuhkan keyakinan parti untuk berhadapan pilihan raya umum.
“Di negeri Melaka dan Johor kita menang dengan majoriti dua pertiga. Tahniah kepada Barisan Nasional Melaka dan Johor. Apakah pengajaran dari dua PRN ini?
“Selain kita mempunyai lebih kekuatan kerana menguasai peringkat Persekutuan dan negeri, jentera dan sokongan akar umbi yang kuat, faktor calon yang akan menerajui kepimpinan negeri atau ‘poster boy’ juga sangat penting.
“Sebelum masuk gelanggang di Melaka kita telah menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri kita. Di Johor pula kita menamakan Datuk Hasni Mohamad sebagai ‘poster boy’ parti.
“Dan semua pihak mengakui faktor imej kedua-dua poster boy ini sangat memainkan peranan dalam membantu kemenangan Barisan Nasional,” ujarnya.
Dalam masa sama, Salmiah juga meminta perwakilan mengambil iktibar daripada PRN Sabah.
“Apabila kita tidak menamakan poster boy kita, Barisan Nasional Sabah bertanding 41 kerusi namun akhirnya kita hanya mampu meraih 14 kerusi,” katanya.
#ismail sabri yaakob #poster boy #PAU 2021 #PRU15
;