PAU2021: Ini masa terbaik laksanakan PRU15 - Mohamad Hasan

Astro Awani
Mac 16, 2022 22:35 MYT
Mohamad mempersoalkan kewajaran pendirian sesetengah pemimpin kerajaan dari UMNO yang cenderung untuk menangguhkan PRU15. - Gambar Astro AWANI/Mohd Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan tiada alasan untuk melengahkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali diyakini rakyat.
Menurut beliau, melengahkan PRU15 akan membuka kesempatan kepada kebangkitan pembangkang untuk berdepan UMNO dan BN.
"Manfaatkan segala peluang dan ruang atas kelemahan musuh kita ini. Menyerang sewaktu mereka benar-benar lemah. ‘Strike while your enemy is weak, strike while the iron is hot’! .
"Itu falsafah peperangan. Melengahkan PRU akan membuka potensi kebangkitan pembangkang," katanya ketika berucap merasmikan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) malam ini.
Beliau juga mempersoalkan kewajaran pendirian sesetengah pemimpin kerajaan dari UMNO yang cenderung untuk menangguhkan PRU15.
Menurut Mohamad, keabsahan kerajaan pemerintah kini terus dipersoal kerana ia tidak terbentuk melalui kemenangan pilihan raya, sebaliknya hanya menguasai kerajaan melalui percaturan politik semata-mata.
“Jangan terus berdolak dalih. Malaysia tidak pernah ditadbir oleh kerajaan yang tidak terbentuk melalui pilihan raya yang demokratik.
“Sampai bila kita mahu terus bergantung dengan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dan memorandum persefahaman (MoU) untuk mengurus kestabilan negara ini?
“Sejak bila kelangsungan serta keabsahan kita sebagai pemerintah bergantung pada ihsan dan simpati parti lain? Sampai bila?” soalnya.
Menurut Mohamad, apa yang diperlukan Malaysia ialah sebuah kerajaan dengan parti terkuat. Tanpa perkara itu, tambahnya, kerajaan yang stabil tidak akan dapat dibentuk.
Oleh hal yang demikian, Mohamad menggesa agar UMNO membuat pendirian terhadap kewajaran untuk menyegerakan PRU15, meskipun ada dalam kalangan UMNO sendiri yang membantah perkara tersebut.
“Akan tetapi, apakah jaminannya bahawa keadaan akan lebih memihak kepada BN jika kita terus menangguhkan PRU?
“Adakah alasan menolak PRU sekarang berdasarkan satu penilaian risiko (risk analysis) yang teliti dan mendalam? Atau sekadar mengikut kata hati dan bisikan emosi?
“Apakah dengan menangguhkan PRU, BN akan berada dalam keadaan yang lebih selesa untuk menang? Dan jika demikian, apakah rumus untuk perkara sedemikian berlaku?
“Momentum apa lagi yang BN perlu tunggu untuk menghadapi pilihan raya apabila feel-good feeling terhadap kerajaan waktu ini sudah mula beransur pudar?” soal beliau.
PERKEMBANGAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021
Mohamad berkata, tiada jaminan bahawa CSA dan MoU yang dimeterai dengan pembangkang akan terus bertahan dalam keadaan politik semasa yang begitu dinamik.
Tambahan pula, kata Mohamad, di kala UMNO kini hanya mempunyai seorang perdana menteri dan bukanlah memegang tampuk pemerintahan sebagai kerajaan UMNO, ia harus mengakui bahawa kekuatan politiknya sudah tidak lagi sebegitu kuat.
#Mohamad Hasan #UMNO #Wanita UMNO #PAU 2021
;