PAU2021: Hasrat bubar Parlimen akan dibincang dan diteliti - PM

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 19, 2022 17:33 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan penggulunganya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 petang Sabtu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Hasrat sebahagian besar para perwakilan dan ahli UMNO yang mahukan agar Parlimen segera dibubarkan akan dibincangkan secara teliti.
Itu jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan penggulunganya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 petang tadi.
“Dua kemenangan besar dalam PRN (pilihan raya negeri) membuat kita menjadi lebih bersemangat untuk berjuang sehingga timbul permintaan supaya Parlimen dibubarkan segera. Saya mendengar cadangan pembahas-pembahas mengenai pembubaran Parlimen.
“Saya beri jaminan keputusan besar ini akan dibincangkan dengan ‘Top Five’ parti. Ini juga akan dibincangkan dengan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk peroleh perkenan Seri Paduka Baginda," jelasnya.
Kenyataan tersebut menyusul dipenghujung ucapanya pada hari terakhir persidangan PAU 2021 berlangsung.
Pada perhimpunan kali ini juga, hampir kesemua ketua-ketua sayap parti UMNO yang juga merupakan parti terbesar orang Melayu itu menuntut kerajaan agar segera membubarkan parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung.
Bagaimanapun, usul tersebut turut menerima pelbagai reaksi dan tidak semuanya disambut baik terutamanya di kalangan beberapa pemimpin parti itu yang menganggotai jemaah menteri dalam kerajaan ketika ini.
Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO menutup ucapannya pada persidangan itu dengan empat rangkap pantun yang memberi gambaran bahawa Perlembagaan dan Insititusi DiRaja perlu diutamakan oleh semua pihak.
#ismail sabri yaakob #Melayu #Parlimen #Perdana Menteri #perhimpunan #UMNO #Yang di-Pertuan Agong #bubar parlimen #Naib Presiden UMNO #PAU 2021
;