PAU2021: Dakwaan 'hanya tekan PM untuk bubar Parlimen' tidak tepat - Shamsul Anuar
Astro Awani
Mac 19, 2022 00:38 MYT
Mac 19, 2022 00:38 MYT
KUALA LUMPUR: Banyak perkara yang dibincangkan oleh pembahas dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU2021) dan ia tidak hanya soal politik semata-mata.
Menurut Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, dakwaan bahawa persidangan yang berlangsung sejak Jumaat itu hanya lebih kepada memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen adalah tidak tepat.
“Bila mana mengikuti dengan dekat secara menyeluruh baru barulah mengetahui keadaan sebenar dan ulasan yang diberikan barulah adil serta tepat.
“UMNO adalah parti yang sejak awal penubuhannya lagi berjuang untuk kepentingan negara dan rakyat. Banyak perkara yang dibincangkan oleh pembahas dan tidak hanya soal politik.
“Wakil UMNO Sabah misalnya bercakap soal isu dan masalah rakyat Sabah berkaitan bekalan, air, elektrik dan jalan raya yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
“Malah banyak perkara berkaitan ekonomi, kebajikan rakyat, kesihatan, soal memperkukuhkan parti, dan lain-lain turut disentuh oleh pembahas,” ujarnya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau membuat kenyataan itu sebagai membidas laporan yang dikeluarkan oleh Astro AWANI pada Sabtu yang memetik penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang berpandangan bahawa PAU2021 kali ini dilihat tidak lain tidak bukan hanya lebih kepada memberi tekanan kepada pembubaran Parlimen.
Tambahnya, ucapan dasar Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Ketua Wanita UMNO termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO serta Puteri UMNO Malaysia menyentuh pelbagai isu dan sebahagiannya dijawab oleh Perdana Menteri.
"Ini bermakna pelbagai soal rakyat kita bincangkan. Jadi mengatakan PAU2021 hanya sibuk tekan Perdana Menteri bubar Parlimen adalah tidak tepat," jelasnya.
#bubar parlimen
#UMNO
#perhimpunan
#Perdana Menteri
#Barisan Nasional
#Dr Mohammad Tawfik Yaakub
#Shamsul Anuar Nasarah
#PAU 2021