PAU2020: UMNO tolak pembelot, pengkhianat parti - Zahid

Fauzi Suhaimi
Mac 28, 2021 12:18 MYT
Tegas Ahmad Zahid, UMNO tidak mahu 'makhluk perosak' berkenaan memusnahkan parti itu pada masa akan datang. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: UMNO menolak sekeras-kerasnya pembelot dan pengkhianat kepada parti itu.
Tegas Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, UMNO tidak mahu 'makhluk perosak' berkenaan memusnahkan parti itu pada masa akan datang.
"Budaya lompat parti semakin menjadi-jadi. Pengundi dan rakyat dikhianati. Jawatan dan ghanimah (harta rampasan) ditukar dengan maruah diri.
"Apakah budaya ini menjadi amalan yang akan diwarisi?" soalnya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempana Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di sini, pada Ahad.
Ahmad Zahid juga mengingatkan kepada semua perwakilan parti untuk menyedari kedudukan politik bukan ditentukan oleh kluster gila kuasa.
"(Sebaliknya, ia) ditentukan oleh kluster rakyat, bukan kluster gila kuasa, bukan kluster broker, bukan kluster oportunis atau kluster lompat pagar.
"Buka minda dan berfikir dua tiga tapak ke hadapan demi masa depan anak cucu kita," ujarnya.
PAU 2020 | Amanat Presiden: Perhimpunan Agung UMNO 2020
BACA: PAU2020: Kita akan bertanding solo atas nama BN dalam PRU15 - Ahmad Zahid
BACA: PAU2020: Rakyat impikan kerajaan perpaduan selepas PRU15 - Zahid
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pimpinan parti itu untuk terus merapatkan saf demi kelangsungan politik UMNO pada masa akan datang.
"UMNO hari ini diasak dari luar dan tidak kurang dari dalam. Sesungguhnya UMNO tidak boleh untuk tidak berpadu.
"Perpaduan merupakan asas kepada keteguhan semua organisasi politik (dan) UMNO tidak terkecuali dan wajib merapatkan saf dalam kalangan pimpinannya," jelasnya.
Buletin AWANI Khas: PAU 2020 | Perhimpunan Agung UMNO
#Zahid Hamidi #UMNO #politik #presiden #perhimpunan #rakyat #perpaduan #PAU 2020 #BN #pembelot #pengkhianat #PAU2020 #Politik Malaysia #Presiden UMNO #Muhyiddin Yassin #Mahathir Mohamad
;