PAU2020: UMNO bukan parti terdesak - Tok Mat
Fauzi Suhaimi
Mac 27, 2021 10:56 MYT
Mac 27, 2021 10:56 MYT
KUALA LUMPUR: Belum ada sebarang ketetapan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk membuat satu pembaikan politik baharu dengan memilih mana-mana parti lain untuk didampingi.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, semua itu masih kekal sebagai satu kemungkinan dan ia harus melihat kepada keperluan dan keadaan semasa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, semua keputusan dan tindakan dalam pembaikan politik tersebut mesti diputuskan oleh semua dan bukan segelintir pihak tertentu.
"Ia mesti disepakati dan bukan di paksa-paksa. Sebab UMNO ini bukan parti terdesak. Kita bukan mereka yang menjaja janji demi mengemis kuasa.
"Kita akan kekal sebagai kita. Satu gerakan kebaikan, yang tidak akan berhenti memberi kebaikan kepada orang Melayu, orang bukan Melayu dan tanah air Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan UMNO mesti meyakini kemampuan UMNO untuk menjadi pengemudi induk dan bukan pemain kedua yang sekadar dikutip untuk memenuhi kuota atau bilangan kerusi yang diperlukan.
"Apa juga yang strategik kepada UMNO, yang diasaskan kepada nilai dan syarat, yang menguntungkan UMNO, Melayu dan Islam serta demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya, setelah mendapat sokongan akar umbi UMNO, maka UMNO sangat bersedia untuk duduk berbincang, dan meneroka jalan, bagi menyelesaikan krisis politik negara.
"Tidak ada mana-mana pihak ataupun individu yang boleh memberitahu atau mengarahkan UMNO tentang bagaimana dan dengan siapa kita harus berunding untuk membentuk sebuah kerajaan.
"Tetapi buat waktu ini, biarlah UMNO memilih untuk memperlihatkan kekuatan sebenarnya sebagai parti politik, dengan keunggulan tersendiri tanpa mengorbankan kepentingan strategiknya," katanya.
#Mohamad Hasan
#UMNO
#Puteri UMNO
#presiden
#pemuda
#Puteri
#politik
#wanita
#PAU2020
#perhimpunan agong UMNO