PAU2020: 'UMNO bukan dayus, siapa yang curang wajar ditinggalkan' - Tok Mat

Fauzi Suhaimi
Mac 27, 2021 12:55 MYT
Mohamad berkata, UMNO turut menegaskan bahawa sesiapa yang memusuhi orang Melayu dan Islam adalah musuh UMNO. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: UMNO tidak teragak-agak untuk memecat mana-mana ahli yang berlaku curang atau khianat kepada parti itu, tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Mereka ini masih memerlukan UMNO untuk bernaung, tetapi cinta dan hati mereka sudah kepada orang lain.
"Mereka telah digelapkan dengan kesenangan yang bersifat kebendaan. Pada mereka, UMNO tidak lebih dari sekadar tunggangan. Bila kuat, mereka dekat. Bila lemah, mereka mengalah.
"Ingat, UMNO ini bukan dayus. Sesiapa yang curang dan khianat, wajar ditinggalkan selama-lamanya," tegasnya ketika berucap merasmikan Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di sini, pada Sabtu.
Kata beliau lagi, sesiapa yang memusuhi orang Melayu dan Islam adalah juga musuh UMNO.
PAU2020 | Curang dan khianat, wajar ditinggalkan selama-lamanya
Justeru selagi pihak tertentu tidak melepasi batas berkenaan (memusuhi orang Melayu dan Islam), UMNO sangat terbuka untuk meneroka segala jalan kerjasama yang ditawarkan.
Tambah beliau lagi, setakat mengenali musuh sahaja, tidak akan menjayakan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
"Untuk menang, UMNO perlu kerja keras. Jangan lagi kita terlalu asyik dan fokus dengan perbincangan politik di media sosial seperti Whatsapp dan Facebook.
"Perbahasan di media sosial tidak akan membawa UMNO ke mana-mana. Yang akan memenangkan kita ialah, dengan menyantuni isu, menyelesaikan permasalahan serta bebanan rakyat," katanya lagi.
#perhimpunan #Mohamad Hasan #UMNO #wanita #presiden #pemuda #PAU2020 #politik #curang #khianat #PRU15 #pilihan raya umum #Tok Mat #Politik Malaysia
;