PAU2020: UMNO-Bersatu tidak boleh 'tidur sebantal' - Noraini

Harits Asyraf Hasnan
Mac 27, 2021 13:40 MYT
"Saya ingin tegaskan di sini bahawa Wanita UMNO menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi yang NO. DAP! NO PKR! Dan tarik sokongan terhadap Bersatu sebaik sahaja paluan gendang pilihan raya bermula!," kata Noraini - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 'sukar untuk tidur sebantal' kerana parti itu mempunyai 'mimpi yang berbeza'.
Perkara itu diakui Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad yang menegaskan sayapnya kekal dengan pendirian yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Ujarnya, selain tidak ada kerjasama dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), sayap itu turut menyokong keputusan supaya menarik sokongan terhadap Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"UMNO dan Bersatu ini banyak bertembung dari segi kepentingan. Atas sebab itulah kita sukar untuk mengadakan kerjasama dalam PRU.
"Sudah tentu keputusan ini memberikan pelbagai implikasi politik kepada orang Melayu namun UMNO berpandangan, kita harus terus bersama dengan keputusan yang telah dibuat oleh akar umbi dan kepimpinan parti.
"UMNO harus memikirkan kelangsungan atau survival parti demi mempertahankan agenda Melayu Islam di negara ini," katanya semasa berucap dalam Persidangan Perwakilan Wanita sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, UMNO sebagai parti keramat orang Melayu mempunyai tanggungjawab yang besar untuk meluruskan kembali jalur politik negara.
Walaupun UMNO mengalami kegagalan pada pilihan raya umum yang lalu, namun parti tersebut katanya, menggunakan ruang untuk bangkit kembali agar kembali diterima rakyat.
"UMNO tewas tetapi komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN tetap setia.
"UMNO tewas tetapi hubungan bersama Pas yang dahulunya tidak sehaluan kembali pulih setelah penyatuan ummah digerakkan.
"UMNO tidak pernah terkubur apatah lagi dikatakan lemah sehingga dilihat boleh dipergunakan serta diperkotak-katikkan sesuka hati," katanya.
Noraini yang juga merupakan Menteri Pengajian Tinggi berkata, Wanita UMNO mahu kepimpinan parti itu terus tegas dalam memastikan UMNO kembali memimpin.
"Bukan kerana kuasa, bukan kerana kerusi tetapi parti keramat ini perlu mendominasi untuk kesejahteraan rakyat yang sekian lama telah terbukti.
"Jangan sesekali benarkan kerusi yang penat jerih Wanita UMNO dan jentera parti menangi diberikan lagi kepada pengkhianat yang telah melompat parti," tegasnya.
#Wanita UMNO #UMNO #Barisan Nasional #Bersatu #pilihan raya umum #kerjasama UMNO PRU15 #noraini ahmad #pilihan raya #PKR #DAP #politik #Persidangan UMNO 2020 #Perhimpunan Agung UMNO 2020 #PAU2020
;