PAU2020: Rakyat impikan kerajaan perpaduan selepas PRU15 - Zahid
Fareez Azman
Mac 28, 2021 10:58 MYT
Mac 28, 2021 10:58 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa UMNO bersedia bekerjasama dengan rakan politiknya bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelasnya, parti itu sangat terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti bagi tujuan itu demi kestabilan politik.
"Adakah sesuatu yang mustahil untuk UMNO dan rakan-rakan kongsi politiknya membina 'political reset' yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini?
"Biarpun tanpa perundingan dengan mana-mana pihak setakat ini, saya dapat merasai impian rakyat yang amat mengharapkan kewujudan sebuah 'unity government' demi kestabilan politik negara.
"UMNO sangat terbuka untuk melakukannya selepas PRU15 nanti," jelasnya dalam ucapan dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia pada Ahad.
Bagaimanapun jelas Zahid, UMNO perlu relevan bagi mendominasi politik tanah air.
Justeru, kepimpinan UMNO di peringkat pusat dan akar umbi jelasnya perlu berlapang dada dan terbuka untuk melakukan reset politik.
"UMNO harus kembali kepada fitrah asalnya, UMNO memimpin bukan untuk dipimpin. UMNO memerintah bukan untuk diperintah, UMNO perlu harus berdiri megah memperkasakan BN bersama rakan lain.
"UMNO dan BN perlu ada tawaran baharu dan 'new deal', UMNO perlu kembali modal teras ekonomi baharu iaitu ekonomi patriotisme," jelasnya lagi.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut menzahirkan terima kasih kepada rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN), MCA, MIC, dan PBRS yang setia bersama UMNO sejak 65 tahun lalu.
#Zahid Hamidi
#UMNO
#Barisan Nasional
#MIC
#MCA
#ekonomi
#pilihan raya
#rakyat
#presiden
#perhimpunan
#pilihan raya umum
#politik
#PAU2020
#Perhimpunan Agung UMNO
#Politik Malaysia
#Muhyiddin Yassin
#Mahathir Mohamad